Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rakyat perlu perkasa ikatan persaudaraan - Chow


Tarikh kemaskini: 01/06/2019





GEORGE TOWN,1 Jun (Bernama) -- Seluruh rakyat perlu menyemai rasa syukur di atas keharmonian yang dikecapi selama ini dan memperkasakan ikatan persaudaraan dengan penuh kasih sayang dalam suasana yang muhibah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata walaupun masyarakat yang mempunyai latar belakang yang berbeza, perbezaan itu perlu dikendalikan secara rasional supaya tidak menjadi benteng pemisah antara rakyat Malaysia.

"Kita sungguh bertuah kerana negeri ini terus mampu mengekalkan keharmonian agama dan perpaduan yang telah terbina kukuh sejak sekian lama. Sejajar dengan semangat perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar Pulau Pinang terus pesat membangun dalam suasana penuh harmoni di antara semua kaum.

Justeru, kerajaan negeri amat komited ke arah melahirkan masyarakat harmoni berteraskan semangat Malaysia Baharu yang berpaksikan kepada prinsip keadilan, demokrasi dan toleransi," katanya menerusi perutusan Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Chow berharap seluruh rakyat untuk meneruskan segala amalan baik yang dikerjakan pada bulan Ramadan khususnya membantu dan meraikan golongan yang kurang berkemampuan. Sikap itu melambangkan nilai murni dan sifat bertanggungjawab yang tersemai dalam setiap diri individu.

Dalam masa yang sama, Chow berkata Kerajaan Negeri sedang fokus dalam penyediaan infrastruktur telekomunikasi dan jalur lebar berkelajuan tinggi yang mana akan menarik lebih banyak lagi pelaburan Industri 4.0.

“Pada masa ini, secara purata, pelaburan baru yang bertapak di negeri ini adalah bernilai RM5 bilion setiap tahun dan telah mencipta 10,000 peluang pekerjaan khusus kepada generasi muda negeri ini. Hasilnya, negeri ini mencatatkan kadar pengangguran 2.1 peratus sahaja pada tahun 2017 dan yang kedua terendah di antara negeri-negeri di Malaysia," katanya.

Menurut Chow, Kerajaan Negeri akan sentiasa menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang politik, bangsa dan agama. Katanya, tata kelola dan pentadbiran berasaskan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus akan terus dimantapkan seiring dengan Visi Pulau Pinang 2030.

Beliau turut mengingatkan agar semua pihak yang akan pulang ke kampung pada musim perayaan ini agar merancang perjalanan dengan baik dan patuhi undang-undang lalu lintas. 

"Pandu dengan cermat dan waspada... Semoga perjalanan anda semua selamat dan ceria dan selamat sampai ke destinasi masing-masing. Saya mewakili seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri dengan penuh kesyukuran ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan rakyat Pulau Pinang khususnya yang akan meraikan hari kemenangan ini," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel