Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kilang pemprosesan kenaf bernilai RM1 juta akan dibina di Melaka


Tarikh kemaskini: 01/06/2019





MELAKA, 1 Jun (Bernama) -- Kementerian Industri Utama menerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara akan membina sebuah kilang pemprosesan berskala kecil bagi tanaman kenaf yang dianggarkan menelan kos sekitar RM1 juta di Daerah Jasin di sini yang kini sedang giat dimajukan dengan tanaman hiliran itu sebagai projek perintis.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pembinaan kilang itu dijangka dapat meningkatkan ekonomi petani terlibat dan masyarakat setempat menerusi penghasilan pelbagai produk perkakas terbiodegradasikan termasuk bekas makanan.

"Beberapa cadangan tentang lokasi tanah yang boleh dibangun kilang pemprosesan kenaf berskala kecil telah dikemukakan Pegawai Daerah Jasin kepada kita dan jangkaan awal  pelaburan untuk pembinaan kilang itu ialah kira-kira RM1 juta.

Kilang ini akan memproses bahan daripada tanaman kenaf ini secara terus untuk menghasilkan produk seperti bekas makanan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi petani," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program My Best Buy (MBB) Pra Aidilfitri Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah FAMA Melaka Che Samudin Hassan.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata tanaman kenaf yang akan dituai di bawah program perintis di negeri itu pada 30 Jun depan akan dibeli oleh kerajaan mengikut kadar yang ditetapkan dan pendapatan adalah terhad berbanding sekiranya petani dapat memproses hasil tersebut di kilang yang dibina.

Beliau berkata pembinaan kilang itu juga secara tidak langsung akan membantu usaha kementerian untuk memperluaskan tanaman kenaf di negeri Melaka pada masa hadapan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri tanaman dan pemprosesan kenaf.

"Kita menerima permintaan daripada beberapa pihak di luar kawasan Jasin seperti di Sungai Udang untuk menanam kenaf dan ia adalah satu respons yang positif untuk pembangunan industri kenaf di Melaka selain kelapa sawit dan getah," katanya.

Sementara itu, katanya Program MBB di negeri itu akan dilaksanakan sebanyak 50 kali melibatkan penyertaan 100 usahawan di 12 lokasi tetap dan bermusim dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM400,000 pada tahun ini.

Beliau berkata program itu dijangka akan dihadiri lebih 20,000 pengunjung dengan setiap daripada mereka berbelanja minimum RM20 dan memberi penjimatan sebanyak 13 peratus atau RM52,000 daripada nilai jualan.

"Setakat Januari hingga April tahun ini, program MBB telah dianjurkan sebanyak 23 kali di lapan lokasi tetap dan bermusim dengan nilai jualan sebanyak RM269,990.16. Ia memberi penjimatan kepada pengguna sebanyak RM35,100," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel