Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sikap penunggang motosikal antara punca penyebab kemalangan


Tarikh kemaskini: 01/06/2019





KOTA BHARU, 1 Jun (Bernama) -- Sikap pengguna motosikal yang mengambil mudah soal keselamatan ketika menunggang termasuk tidak memakai topi keledar, lampu isyarat rosak atau lampu brek belakang tidak berfungsi adalah antara punca utama kemalangan melibatkan penunggang motosikal.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Apandi Jusoh berkata kebanyakan penunggang motosikal di negeri ini hanya belajar mengenai keselamatan ketika proses mendapatkan lesen memandu namun melupakannya selepas berjaya memperoleh lesen.

Beliau berkata pelbagai kempen sudah dilakukan oleh pelbagai agensi bagi mendidik pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal tetapi kurang berkesan.

"Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sebanyak 60 hingga 65 peratus kemalangan maut seluruh negara kebanyakannya adalah melibatkan penunggang motosikal.

Berdasarkan statistik tahun lepas, dianggarkan sebanyak 18 kematian sehari di seluruh negara dengan kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal disebabkan pengabaian dari sudut fizikal motosikal yang ditunggangi," katanya kepada pemberita selepas Op Khas Motosikal di Kubang Kerian di sini, hari ini.

Mohd Apandi berkata amat sukar mengubah sikap penunggang motosikal terutamanya yang tinggal di luar dan pinggir bandar.

Beliau berkata ada sesetengah ibu bapa yang memakai topi keledar ketika menunggang motosikal tetapi anak yang dibonceng tidak dipakaikan topi keledar dan boleh menyebabkan cedera parah atau maut jika berlaku kemalangan.

Mengulas mengenai Op Sikap yang dijalankan selama tiga jam bermulai pukul 9 pagi hingga 12 tengahari di Jalan Kubang Kerian-Kota Bharu hari ini sebanyak 100 notis dikeluarkan pihaknya.

Beliau berkata selain itu, dalam Op Sisih (Operasi pra Hari Raya) yang bermula 22 hingga 28 Mei lalu, sebanyak 663 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan seperti kesalahan berkaitan lesen memandu, lebih muatan dan cukai jalan tamat tempoh.

"Untuk Op Sisih mulai 28 Mei hingga 13 Jun depan pula, seramai 300 anggota JPJ Kelantan akan terlibat. Tahun ini kita adakan dua sesi iaitu sesi biasa selama 16 jam dan tempoh kedua sekatan selama 24 jam dan diadakan di seluruh negara.

Kali ini kita tumpu kepada tujuh kesalahan utama iaitu memandu sambil menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang dan topi keledar, memotong di sebelah kiri, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan serta menggunakan tayar nipis," katanya.

Katanya di Kelantan, sekatan akan dilakukan di lokasi yang kerap berlaku kemalangan jalan raya, terutama laluan Jeli-Gerik, Kota Bharu-Pasir Puteh dan Kuala Krai-Gua Musang.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel