GhRwHQkoEqg Berswafoto di drawbridge dari atas bot
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Berswafoto di drawbridge dari atas bot


Tarikh kemaskini: 01/06/2019





KUALA TERENGGANU, 1 Jun (Bernama) -- Orang ramai yang pastinya teruja menantikan jambatan angkat atau ‘drawbridge’ dibuka esok boleh menggunakan perkhidmatan ‘Payang Water Taxi’ untuk berswafoto berlatar belakangkan ikonik baharu Terengganu itu.

Zakaria Dagang, Pengerusi Cas Ligas Sdn Bhd yang mengendalikan Payang Water Taxi, berkata penumpang boleh menikmati pakej ‘Selfie di Drawbridge’ dari atas bot sambil menyusuri Sungai Terengganu dengan tambang hanya RM5.

“Pada bulan Ramadan ini pun kawasan pesisir pantai yang berdekatan dengan drawbridge dipenuhi penduduk tempatan yang berbuka puasa berlatarbelakangkan jambatan angkat itu dan pemandangan ini sangat menarik.

Jadi kami jadikan jambatan itu sebagai punca rezeki kami. InsyaAllah selepas ini apabila jambatan itu dibuka sepenuhnya akan lebih ramai lagi orang yang datang dan kita akan beri perkhidmatan yang lebih baik,” katanya kepada Bernama.

Pakej terbaharu itu bermula sejak April lepas dengan menggunakan dua buah bot berkapasiti 42 penumpang dan setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

“Sekarang ini sebagai percubaan ia beroperasi setiap Jumaat dan Sabtu dari pukul 5.00 hingga 6.30 petang. Dan selama satu jam setengah itu trip kami memang penuh dengan penumpang,” katanya.

 Selain itu, Payang Water Taxi yang beroperasi sejak Julai 2018 turut menawarkan beberapa pakej pelayaran menyusuri Sungai Terengganu dan penumpang berpeluang bergambar di kawasan menarik di sepanjang sungai itu dengan tawaran harga bermula RM5.00 hingga RM10.

Terdapat dua laluan disediakan Payang Water Taxi iaitu Laluan A bermula di Jeti Pulau Warisan menyusuri beberapa tempat antaranya Duyong Marina & Resort, Jeti Seberang Takir dan Jambatan Angkat.

Laluan B pula akan membawa penumpang ke Masjid Kristal, Pulau Pasir, Duyong Marina & Resort, Jambatan Angkat dan Persisir Payang.

Pengunjung turut dibawa menikmati kari kepala ikan Pakej Payang Water Taxi ke Warung Santai D’River di Kampung Pasir Tinggi di sini dengan bayaran RM68 seorang.

Jambatan angkat sepanjang 638 meter yang mempunyai dua menara setinggi 16 tingkat itu akan dibuka untuk percubaan esok sehingga 17 Jun.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel