Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Durian bulat sejuk beku dibenarkan dieksport ke China


Tarikh kemaskini: 01/06/2019





JOHOR BAHRU, 1 Jun (Bernama) -- Durian bulat sejuk beku kini dibenarkan dieksport ke China, sebagai permulaan dihantar ke wilayah Beijing dan Guangzhou, pada musim ‘raja’ buah itu Julai atau Ogos ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata Malaysia mendapat kelulusan pihak berkuasa China untuk mengeksport durian jenis Musang King  pada 30 Mei lepas selepas pihak berkuasa negara itu melakukan pemeriksaan terhadap sembilan syarikat perladangan buah berkenaan.

“Ini berita gembira dalam minggu ini. Alhamdulillah, durian kita dalam bentuk ‘whole fruit (sejuk beku) sudah boleh dieksport ke China. Kita menunggu sekian lama (untuk eksport), tetapi kali ini, atas inisiatif Perdana Menteri sendiri.

“Saya juga sudah dua kali dalam siri lawatan penting ke China pada Ogos tahun lepas dan Mac lepas, mengiringi Perdana Menteri ke China di mana dua pertemuan peringkat tertinggi mesyuarat kerajaan Malaysia dan China, Perdana Menteri telah menekankan industri durian yang berpotensi di Malaysia dan China pula menawarkan pasaran yang cukup luas di China,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani di Pasar Tani Datin Halimah, di sini hari ini.

Salahuddin berkata menerusi dua lawatan ke China berkenaan, delegasi Malaysia ditaklimatkan bahawa daripada 1.4 bilion rakyat republik itu, hanya satu peratus sahaja yang dapat merasa kenikmatan Musang King.

Beliau berkata ia membuktikan eksport durian ke China amat cerah dan kementeriannya akan memastikan peluang berkenaan dijayakan.

“Biasanya, selepas pemeriksaan, perlu menunggu sampai dua atau tiga tahun untuk mendapat kelulusan (import) tetapi Alhamdulillah, kerajaan China telah memberikan kelulusan, maknanya sekarang kita boleh import ‘whole fruit’, sebelum ini kita hanya dibenarkan import durian dalam bentuk pulp (isi) dan pes sahaja,” katanya.

Beliau berkata antara Musang King yang bakal dieksport itu melibatkan dari dusun di Johor, Pahang dan utara Semenanjung, namun, jumlahnya belum dapat dipastikan. 

Salahuddin sehubungan itu turut memberi amaran kepada syarikat yang terlibat dalam eksport buah berkenaan supaya tidak menipu dengan meletakkan jenis durian lain, yang bukannya Musang King untuk dieksport.

“Musang King mesti tulen, jangan tipu. Saya bagi amaran kepada syarikat yang diizinkan supaya benar-benar jujur memelihara nama baik Malaysia. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan menarik balik kelulusan daripada kementerian sekiranya mereka cuba mencapai keuntungan dalam masa terdekat dengan merosakkan integriti,” katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel