Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pra pelancaran kempen, logo Tahun Melawat Johor 2020 suku ketiga tahun ini


Tarikh kemaskini: 01/06/2019





Oleh Suhainie Mohd Khalid

ISKANDAR PUTERI, 1 Jun (Bernama) – Kerajaan negeri Johor sedang berusaha mempromosikan Tahun Melawat Johor 2020 termasuk melakukan pra pelancaran kempen dan logo mengenainya yang dijangka pada suku ketiga tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Liow Cai Tung berkata selain kempen dan logo, beberapa siri jelajah bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 juga akan diadakan di beberapa negeri tahun ini bagi memberi pendedahan kepada pasaran domestik yang merupakan penyumbang utama industri pelancongan.

“Mengenai perkembangan terkini promosi Tahun Melawat Johor 2020 ini, kita (kerajaan negeri) sudah pun mengadakan bengkel persediaan kempen Tahun Melawat Johor 2020 pada 15 April lepas bagi mengumpul input daripada pasaran pelancongan.

“Kita juga sudah menganjurkan pertandingan mereka cipta logo, maskot dan fotografi bersempena Tahun Melawat Johor 2020 sehingga 30 April lepas. Penjurian telah dilaksanakan, namun, pemenangnya akan diumumkan kelak,” katanya kepada Bernama, di sini, baru-baru ini.

Liow berkata pengiklanan mengenai Tahun Melawat Johor 2020 pula antara lain akan dilakukan menerusi sewaan panel pengiklanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 selain bercadang melakukannya pada bas awam.

“Kita juga sedang menghasilkan cenderahati bersempena Tahun Melawat Johor 2020 yang beridentitikan negeri ini dan dalam masa sama juga, kita berusaha menyampaikan pelbagai informasi berhubung kempen kesedaran Tahun Melawat Johor 2020 kepada masyarakat tempatan,” katanya.

Menurut Liow, mengikut statistik Jabatan Imigresen Johor, seramai 4.09 juta pelawat direkodkan memasuki negeri ini sejak Januari hingga Mac lepas merangkumi rakyat Singapura, China dan Indonesia.

Beliau berkata seramai 15.8 juta pelawat pula direkodkan memasuki negeri ini tahun lepas berbanding 14.4 juta pelawat pada 2017.

Katanya kedatangan pelawat dari Singapura dan Indonesia menunjukkan peningkatan tahun lepas dengan pelawat Singapura merekodkan seramai 11.93 juta orang tahun lepas berbanding 10.65 juta orang pada 2017 manakala pelawat Indonesia seramai 1.42 juta tahun lepas berbanding 1.2 juta orang, tahun 2017.

“Jumlah kemasukan pelawat dari China pula menurun sebanyak 21.7 peratus tahun lepas iaitu seramai 705,004 orang berbanding 900,845 orang tahun sebelumnya,” katanya.

Liow berkata bagi menampung keperluan pelancong dan kadar bermalam di negeri ini, terdapat 17,302 bilik hotel ditawarkan sektor perhotelan di seluruh negeri ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 15,617 bilik melibatkan 109 hotel bertaraf bintang manakala 1,685 bilik lagi melibatkan 60 hotel bajet bertaraf orkid. 

Johor turut menyediakan 26 inap desa yang menawarkan 699 bilik, katanya.

Menurut Liow, seramai 1,025 pemandu pelancong turut direkodkan di negeri ini yang berperanan menggiatkan industri pelancongan khususnya kempen Tahun Melawat Johor 2020.

“Antara kursus yang dijalankan Motac kepada pemandu pelancong adalah ‘We Are The Host’yang mempersiapkan diri atau frontliners kepada pemandu pelancong supaya lebih berpengetahuan, Kursus Pengesahan Pemandu Pelancong serta Continuing Tourism Related Education,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel