Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Harap peneroka bersabar - Yang di-Pertuan Agong


Tarikh kemaskini: 31/05/2019





MARAN, 31 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah menasihatkan peneroka Felda untuk bersabar dalam menghadapi kemelut kejatuhan harga komoditi itu. 

Baginda bertitah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk mencari alternatif bagi meningkatkan sumber hasil peneroka, yang terkesan ekoran harga komoditi itu adalah berdasarkan kepada keadaan ekonomi dunia. 

"Saya dapat merasai kedudukan masyarakat di Felda. Saya percaya dan yakin jika semua pihak ada pemikiran yang positif, hati yang sabar dan beri kepercayaan kepada kerajaan baharu untuk membetulkan kekurangan yang ada dengan secepat dan sebaik mungkin. 

"Harga kelapa sawit ini tidak tertakluk kepada kerajaan semata-mata tetapi tertakluk kepada ekonomi global. Tapi ia tak bermakna kita harus berpeluk dada kerana kita harus mencari jalan dan inisiatif baharu. 

"Semua pihak harus berusaha supaya dapat mengembalikan semula identiti, status dan kesejahteraan penduduk Felda seperti sediakala dan kalau boleh, lebih baik daripada sebelumnya," titah baginda di sini, hari ini. 

Sultan Abdullah bertitah demikian selepas berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Rakyat Daerah Maran di Masjid Jamek Felda Jengka 5 di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang. 

Sultan Abdullah dalam ucapannya juga menzahirkan terima kasih kepada semua rakyat yang sudi mengadakan solat hajat kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (semasa gering) dan mendoakan Almarhum. 

"Tiada kata yang dapat saya balas.., terima kasih saya ucapkan mewakili keluarga saya untuk semua," titah baginda. 

Baginda seterusnya bertitah supaya rakyat mengambil kesempatan untuk merayakan Aidilfitri dengan semangat silaturahim yang baik dan melupakan perbezaan yang ada termasuk perbezaan politik. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel