Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lapan lokasi SPU dikenalpasti kerap kemalangan, sesak


Tarikh kemaskini: 31/05/2019





KEPALA BATAS, 31 Mei (Bernama) -- Sebanyak lapan lokasi yang dikenalpasti kawasan kerap berlaku kemalangan dan jalan sesak di daerah Seberang Perai Utara (SPU) akan diberi tumpuan sepanjang pelaksanaan Op Selamat bermula 29 Mei hingga 12 Jun ini.

Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata laluan kerap berlaku kemalangan atau kawasan hitam yang dikenalpasti itu membabitkan sepanjang laluan Jalan Chain Ferry hingga Jambatan Merdeka, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), dan Lebuhraya Utara Selatan dari Kilometer (KM) 115 hingga KM 130.9.

"Manakala bagi laluan yang sering berlaku kesesakan ialah Jalan Permatang Pauh, Jalan Chain Ferry, Penang Sentral, Bumbung Lima dan Jalan Raja Uda. Seramai 62 pegawai dan anggota polis bahagian trafik ditempatkan di kawasan berkenaan dalam penugasan Op Selamat itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 15 peringkat daerah SPU, di sini hari ini.

Pihaknya juga mempertingkatkan rondaan di kawasan yang dikenalpasti dan lokasi lain supaya pengguna jalan raya lebih berhati-hati apabila menyedari kehadiran anggota polis.

Beliau berkata selain itu, pihaknya juga akan menempatkan anggota di beberapa lokasi bagi memastikan kelancaran aliran trafik, terutamanya pada waktu puncak ketika orang ramai memulakan perjalanan pulang ke kampung sempena perayaan Aidilfitri ini.

Noorzainy berkata orang ramai dinasihatkan agar mematuhi peraturan jalan raya dan merancang perjalanan bagi mengurangkan kesesakan dan beliau berharap pada Ops Selamat 15 ini, jumlah kemalangan dapat dikurangkan terutama kes kemalangan maut.

"Kami juga berharap pengguna jalan raya mematuhi peraturan dengan mengamalkan pemanduan secara berhemah serta memastikan kenderaan diselenggara dan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan balik kampung dan ke mana-mana," katanya.

Sementara itu, katanya orang ramai yang mahu pulang ke kampung dan meninggalkan rumah mereka di nasihatkan supaya memaklumkan kepada polis dengan menghantar borang maklumat balik kampung yang boleh diperoleh dari balai-balai polis atau portal rasmi Polis DiRaya Malaysia (PDRM) dalam laman sesawang www.rmp.gov.my.

Polis juga akan turun ke lapangan, taman perumahan serta kawasan  kampung dengan menjalankan tugas rondaan bermotosikal, berkereta serta statik bagi mengawal lalu lintas serta memantau rumah dan premis yang ditinggalkan.

"Bagi tugas rondaan kami menambah lebih 30 peratus pegawai dan anggota untuk membuat penugasan berkenaan untuk memastikan rumah atau premis yang ditinggalkan dalam keadaan selamat dan mencegah berlaku kes pecah rumah serta jenayah lain," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel