Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Budaya keusahawanan perlu dipupuk dari sekolah rendah


Tarikh kemaskini: 30/05/2019





ALOR GAJAH, 30 Mei (Bernama) -- Budaya keusahawanan hendaklah dipupuk dalam kalangan murid sejak awal lagi iaitu bermula di peringkat sekolah rendah bagi mendedahkan mereka dengan teknik perniagaan dan asas keusahawanan. 

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata dengan pendedahan itu ianya dapat membentuk dan melatih kreativiti murid untuk menjadi seorang pencipta kerja yang berpotensi dan bukan hanya sebagai pencari kerja.

“Jika kita tidak masukkan budaya keusahawanan ini kita bimbang negara kita pada masa akan datang tidak boleh berdiri di atas kaki sendiri, justeru itu kita mesti pastikan kita menjadi sebuah negara pengeluar dan bukan lagi pengguna.

Dedahkan anak-anak murid dengan asas keusahawanan dan pastikan mereka memahami agenda negara dalam melahirkan masyarakat yang progresif serta berpendapatan tinggi,” katanya pada pemberita pada Majlis Mesra Iftar dan penyampaian sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama guru besar dan pengetua sekolah-sekolah Parlimen Alor Gajah dan Jasin di sini malam ini. 

Mohd Redzuan yang juga Anggota Parlimen Alor Gajah berkata bagi merealisasikan hasrat itu, guru memainkan peranan penting dalam mempraktikkan asas keusahawanan seperti mengadakan pertandingan dan karnival usahawan di peringkat sekolah. 

Beliau berkata aktiviti seperti itu boleh memberi peluang kepada murid untuk berdikari dan menonjolkan potensi diri secara praktikal ke arah menjadi seorang usahawan berjaya.

Pada majlis itu, sebanyak 67 buah sekolah rendah dan menengah di Parlimen Alor Gajah dan Jasin menerima sumbangan berjumlah kira-kira RM74,000.

Sumbangan tersebut melibatkan 54 buah sekolah rendah dan 13 buah sekolah menengah di kedua-dua Parlimen.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Mohd Redzuan berkata beliau berbangga dengan pencapaian beberapa buah sekolah di dua Parlimen itu yang mengharumkan nama negara termasuk di peringkat antarabangsa.

“Antaranya Sekolah Kebangsaan Lesong Batu di Machap Jaya yang telah mengharumkan nama Malaysia dengan memperoleh Anugerah Emas dan Pakaian Terbaik dalam Festival Tarian Budaya Rakyat Kanak-kanak Antarabangsa Sakarya di Turki 2018.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal kerana telah menerima pengiktirafan tertinggi Green Flag daripada World Wildlife Fund for Nature atau WWF melalui pelaksanaan Program Eko-Sekolah Melaka dengan kerjasama Green Growth Asia Foundation,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel