Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PDRM tunggu bentuk IPCMC dimuktamad, pastikan hak, kebajikan anggota terpelihara - KPN


Tarikh kemaskini: 30/05/2019





KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata beliau akan memastikan hak-hak kebajikan warga polis diberi perhatian apabila Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dimuktamadkan,

Beliau berkata kebajikan anggota polis yang rata-rata berpendapatan sederhana perlu diberi perhatian setimpal dengan pengorbanan pasukan keselamatan itu.

“Kami warga PDRM (Polis Diraja Malaysia) menunggu bentuk IPCMC ini dimuktamadkan dan selepas itu tanggungjawab saya adalah menyakinkan anak-anak buah saya dan apabila IPCMC diluluskan, saya akan pastikan PDRM akan mendapat hak-hak kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat tapak Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini. Turur hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ruslan Khalid.

“Sejak sebulan dan seminggu yang lepas, saya meninjau sendiri keadaan kuarters-kuarters balai polis antaranya di TTDI dan ada antaranya mempunyai atap yang rosak dan pecah.

“Saya sedih melihat keadaan ini apabila anggota saya terpaksa berbumbungkan atap bocor dan mereka ini berpendapatan sederhana. Saya akan perjuangkan hak mereka,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa penubuhan IPCMC akan diteruskan selepas mendapat persetujuan daripada PDRM.

Perkara itu dicapai melalui perbincangan antara Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dengan 20 wakil jabatan PDRM dan persatuan polis di Perdana Putra, Putrjajaya pada 10 Mei lalu.

Ketua Pengarah GIACC Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata kertas Kabinet berhubung penubuhan IPCMC dijangka dapat dikemukakan selepas Aidilfitri.

IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis manakala Ombudsman Malaysia menguruskan aduan terhadap isu berkaitan jentera kerajaan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel