Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

265 kontena sisa plastik ditemui tersadai di Butterworth


Tarikh kemaskini: 30/05/2019





BUTTERWORTH, 30 Mei (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang mendedahkan hari ini terdapat 265 kontena yang mengandungi sisa sampah plastik telah dibawa masuk ke negeri itu dan kini tersadai di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sejak Januari lalu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Saidi Ismail berkata, sebanyak 149 daripada kontena itu di ikrarkan sebagai barangan kitar semula manakala bakinya masih belum di ikrar dan tidak memiliki Lesen Import (AP).

"Pemeriksaan pihak kastam mendapati kebanyakan kontena itu mengandungi sisa sampah dan ia kebanyakkan dari negara maju seperti Hong Kong, Kanada, Belgium, Jerman serta Amerika Syarikat. Kami percaya ia di import sebagai bahan kitar semula,” katanya ketika di hubungi di sini malam ini.

Katanya, semua kontena itu tidak dituntut sehingga menyebabkan NBCT menjadi sesak malah pihak kastam terpaksa meminjam kawasan lapang lain untuk meletakkan kontena lain.

Beliau berkata berikutan kemasukan kontena itu, kerajaan kerugian lebih RM5 juta dalam tempoh hampir enam bulan tahun ini kerana terpaksa menyelenggara kontena tidak di tuntut itu dan menanggung caj tempat letak kontena.

Katanya, pihak Kastam tidak mahu Pulau Pinang menjadi tempat longgokan sampah sehingga kerajaan terpaksa membazirkan wang untuk membayar kos yang tidak sepatutnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, siasatan mengikut dokumen senarai muatan kapal, mendapati terdapat 11 syarikat yang terlibat dalam aktiviti haram ini.

“Sebanyak 130 kontena telah dikenakan tindakan kompaun RM1,000 untuk setiap satu kontena manakala usaha untuk menyiasat kontena yang selebihnya masih dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, modus operandi mereka adalah mengisi kontena itu dengan barangan kitar semula di bahagian depan dan barangan sisa sampah plastik haram di bahagian belakang kontena.

"Kontena yang ikrarkan sebagai barangan kitar semula adalah hanya di bahagian hadapan dan bahagian belakang kontena adalah sisa sampah plastik untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata pihak kerajaan negeri masih menunggu arahan daripada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk mengambil langkah seterusnya.

"Kemungkinan kami akan menghantar balik kontena-kontena ke negara asal namun itu akan terpulangkan kepada cadangan dari MESTECC sebelum sebarang tindakan diambil," katanya.

Selasa lepas, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, sebanyak 450 tan metrik sisa sampah dari 10 kontena akan dihantar semula dalam masa terdekat ke negara asal masing-masing.

Di samping itu, Yeo berkata, Kabinet pada 24 April lalu juga telah memberi mandat kepada kementeriannya untuk menubuhkan pasukan khas yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi membolehkan siasatan terhadap kegiatan penyeludupan sisa plastik ke Malaysia.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel