Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Raja Muda Perlis santuni anggota keselamatan di sempadan


Tarikh kemaskini: 30/05/2019





SATUN, (THAILAND) 30 Mei (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan berangkat mencemar duli menyantuni anggota keselamatan serta petugas di sempadan Malaysia Thailand di sini yang akan bertugas pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah tanpa pengorbanan mereka mustahil keamanan dapat dinikmati oleh masyarakat di kedua-dua negara terutama menjelang lebaran.

"Anggota keselamatan dan semua penguat kuasa di sempadan seperti polis, imigresen, kastam, Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dan lain-lain perlu sentiasa bersemangat, proaktif, berdisiplin dan berintegriti serta komited terhadap tugas yang diamanahkan bagi memastikan sempadan negara utuh dan tidak mudah dicerobohi pihak tidak bertangungjawab, " titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas merasmikan majlis Sumbangan Kuih Raya Aidilfitri 2019 kepada anggota keselamatan dan petugas di sempadan Malaysia-Thailand di Tammalang Satun, di sini, hari ini.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Perempuan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir, Gabenor Wilayah Satun, Charuwat Kliengklao.

Sebelum itu, Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan berangkat mencemar duli ke program ziarah ihya ramadan di sini demi menjaga hubungan kedua-dua negara khususnya Perlis dan Satun begitu akrab di mana penduduknya memiliki hubungan kekeluargaan sejak dahulu kala.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut meriah oleh kira-kira 20 penduduk Pasir Panjang dan Tanjung Po.

Baginda bersama delegasi Perlis berkunjung ke Masjid Pasir Panjang dan Masjid Tanjung Po bagi menyampaikan bantuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Isitiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 12 orang anak yatim dan 30 orang golongan asnaf dewasa.

Sumbangan berupa wang tunai sebanyak 2000 baht (RM263) seorang diberikan sebagai persediaan menghadapi Aldilfitri.

Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs, turut meluangkan masa selama sejam menziarahi dua penghuni rumah asnaf di Tanjung Po iaitu Ahmad Md Noh, 74 yang lumpuh dan terlantar sejak dua tahun lalu dan Lah Mud, 70, bekas nelayan yang lumpuh kekal sejak 11 tahun lalu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Amalan letak wanita di kelas rendah dalam organisasi kini tidak relevan

 
     

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel