Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Johor jadi pusat transit sindiket klon kereta Singapura ke Thailand


Tarikh kemaskini: 30/05/2019





JOHOR BAHRU, 30 Mei (Bernama) -- Sindiket kereta klon dari Singapura dikesan menjadikan negeri ini sebagai pusat transit sementara sebelum kenderaan itu dipindahkan ke negara Thailand selepas sekurang-kurangnya seminggu proses pemalsuan dokumen selesai.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor Razali Wagiman kegiatan itu berjaya dihidu pihaknya susulan penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun yang memandu kenderaan jenis BMW yang dipercayai kenderaan klon dari Singapura.

"Disebabkan suspek menunjukkan dokumen perjalanan dan Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP) palsu kepada kami dalam satu operasi, suspek telah ditahan di Kebun Teh di sini," katanya dalam sidang media Operasi Hari Raya Aidilfitri di Kompleks JPJ, Taman Daya, Johor Bahru, di sini, hari ini.

Razali berkata  yang dipandu suspek itu didapati memiliki nombor pendaftaran dan dokumen dari Thailand namun kod pengeluar serta nombor casisnya dari negara Singapura.

"Hasil semakan dengan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan Polis Thailand mendapati kenderaan tersebut didaftarkan di Singapura pada 2008, manakala nombor pendaftaran wujud di Bangkok Thailand dengan jenis kereta sama, namun berwarna putih," katanya. 

Katanya, semakan turut mendapati kenderaan itu yang didaftarkan dengan nombor SJW 2438T sepatutnya dilupuskan pada tahun lepas, namun didapati diklonkan di Bangkok bernombor 5AA 8095 untuk dijual ke pasaran gelap Thailand pada harga RM30,000.

Menurut Razali juga, sindiket menjual kereta klon biasanya menggunakan nombor pendaftaran sama dengan kenderaan jenis sama yang sah di negara ini.

“Namun modus operandinya kini berubah, apabila menggunakan dokumen kenderaan palsu dari negara Thailand, selain mengekalkan nombor casis untuk mengaburi mata penguatkuasa yang melaksanakan operasi.

Jadi bila kita dapatkan nombor pendaftaran Malaysia, kita boleh mengetahui siapa pemilik kenderaan itu, tapi bila dia (sindiket) menggunakan dokumen Thailand termasuk geran kenderaan serta nombor casis sama seperti dalam dokumen menyebabkan kita keliru," kata Razali.

Katanya, proses pemalsuan dokumen kenderaan itu mengambil masa kira-kira seminggu sebelum ia dipindahkan ke Thailand menggunakan ICP yang sudah dipinda, dipadam dan dipalsukan.

"Johor jadi lokasi transit untuk membuat dokumen dan transit sementara sebelum kenderaan yang berstatus untuk dilupuskan itu dibawa ke Thailand,” tambah beliau.

Mengulas lanjut katanya, kenderaan itu kini ditahan, manakala lelaki berkenaan sudah diambil keterangan bagi siasatan terhadap penemuan kenderaan klon itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 108(3) (f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor plat pendaftaran palsu.

“Pihak JPJ sedang menyiasat perkara ini, dan amat memandang serius tentangnya dan saya minta kerjasama daripada rakan-rakan media untuk menguar-uarkan perkara ini agar sampai kepada pengetahuan pihak Singapura dan Thailand,” katanya.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel