Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sumbangan rakyat Malaysia cukupkan dana kanak-kanak kanser jalani pembedahan


Tarikh kemaskini: 30/05/2019





Oleh Alia Siti Khadijah Azhar

GEORGE TOWN, 30 Mei (Bernama) -- Hanya dalam tempoh sehari selepas nasib Rais Rafael Rozaidi, 3, kanak-kanak yang menghidap kanser didedahkan Bernama semalam, sumbangan yang diterima dari orang ramai bagi membolehkannya menjalani pembedahan tulang sum-sum sudah lebih dari mencukupi.

Ibu Rais, Noraisyah Fathin Che Azmi, 31, berkata dana yang diterima selain tambahan dari Tabung Bantuan Perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) sudah lebih dari memadai untuk membolehkan kanak-kanak itu menjalani pembedahan itu.

“Terima kasih rakyat Malaysia kerana prihatin dan bermurah hati menyalurkan sumbangan kepada anak saya dan mendoakan kesembuhannya,” katanya dalam nada sebak ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, beliau berkata pembedahan yang perlu dilakukan setelah Rais mengalami kanser retinoblastoma yang telah merebak ke tulang rusuknya terpaksa ditangguhkan selepas keluarganya tidak dapat mengumpul sebanyak RM33,000 untuk menampung kos rawatan itu.

“Alhamdulillah... pakar perunding di HPP awal pagi ini memaklumkan (permohonan) Tabung Bantuan Perubatan telah diluluskan. Walaupun bukan bantuan penuh tetapi apabila ditambah dengan sumbangan rakyat Malaysia, ia lebih daripada mencukupi,” katanya 

Noraisyah berkata pembedahan tulang sum-sum tersebut akan dijalankan pada penghujung bulan Jun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan pada masa yang sama beliau memohon agar rakyat Malaysia menghentikan kiriman wang melalui akaun Bank CIMBnya.

“Insya-Allah lebihan sumbangan saya akan salurkan kembali selepas tamat rawatan Rais. Memang kami tidak sangka secepat ini dana itu dapat dikumpulkan. Mudah-mudahan ada sinar baru dalam kehidupan Rais Rafael dan dia kembali sembuh," katanya.

Bernama semalam melaporkan derita yang dialami Rais Rafael yang turut kehilangan mata sebelah kirinya akibat kanser itu, selain keperluan untuk menjalani pembedahan untuk pemindahan tulang sum-sum berkenaan.

Derita ini ditambah lagi dengan kesulitan ibu bapanya untuk memperoleh sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung kos pembedahan itu dan selama inipun mereka terpaksa bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk menanggung kos perubatan anak mereka.

Keluarga Noraisyah turut menerima sumbangan dari The Light Hotel (M) Sdn Bhd menerusi satu rombongan yang diketuai pengarah pemasaran dan komunikasinya, Siti Fatimah SME Packeer Mohd semalam bersama-sama anggota Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Amalan letak wanita di kelas rendah dalam organisasi kini tidak relevan

 
     

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel