Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kedatangan pelancong ke Melaka Jan-Mac meningkat kepada 4.79 juta


Tarikh kemaskini: 30/05/2019





MELAKA, 30 Mei (Bernama) -- Jumlah pelancong yang berkunjung ke Melaka meningkat kepada 4.79 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 4.07 juta dalam tempoh sama tahun lepas, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata lonjakan sebanyak 17.49 peratus itu sangat menggalakkan bagi Melaka yang menyasarkan 20 juta pelancong tahun ini bersempena Tahun Melawat Melaka 2019, dan pelancong domestik terus kekal sebagai penyumbang terbesar iaitu 3.4 juta berbanding pelancong asing 1.38 juta.

"Lima negara yang merupakan pasaran pelancong asing terbesar merupakan China iaitu sebanyak 46.2 peratus, Singapura (17.31peratus), Indonesia (8.34 peratus), Taiwan (4.6 peratus) dan Hong Kong (3.05 peratus). Manakala, Selangor menyumbang kepada peningkatan pelancong domestik paling ramai iaitu 12.11 peratus.

"Justeru, semua pihak terlibat dalam industri pelancongan Melaka perlu menjalin kerjasama dalam merancakkan lagi pembangunan industri berkenaan selain menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini," katanya pada sidang media Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.

Adly berkata kerajaan negeri akan terus menggiatkan promosi pelancongan dengan memfokuskan kepada 13 subsektor pelancongan negeri itu termasuk sejarah, budaya, sukan, kesihatan, agropelancongan dan ekopelancongan, serta mempromosi produk pelancongan secara spesifik.

Dalam pada itu, Adly berkata pengusaha homestay di seluruh negeri digesa agar berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kerana ia melibatkan soal keselamatan orang awam yang mendiami premis terbabit.

"Terdapat rumah, apartmen, banglo dan lain-lain kediaman dijadikan homestay oleh pemiliknya tanpa berdaftar dengan MOTAC, yang mana menyukarkan pengawalan pihak berkuasa dan pengabaian mutu perkhidmatan sehingga menjejaskan imej industri pelancongan negeri," katanya.

Sementara itu, Adly berkata Melaka bebas daripada catuan bekalan air yang pada awalnya dirancang 15 Jun ini, susulan pelbagai usaha berterusan dilakukan Syarikat Air Melaka Berhad dan Badan Kawal Selia Air Melaka bagi memastikan bekalan air mencukupi.

Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Air negeri baru-baru ini, memutuskan untuk meneruskan inisiatif yang dirancang sebelum ini iaitu membuat pembelian tambahan bekalan air mentah dari Sungai Gerisik, Muar, memindahkan bekalan air dari Empangan Jus ke Empangan Durian Tunggal serta menyalurkan air dari Tasik Biru, Merlimau ke Empangan Durian Tunggal.

Paras air Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah berada pada 29.9 peratus dengan jumlah kapasiti air 9.22 bilion liter, Empangan Jus di Jasin (64.3 peratus / 27.77 bilion liter) dan Empangan Asahan di Jasin (62.5 peratus/155 juta liter).

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel