Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UMK akan buka ruang pelajar sertai anggota senat


Tarikh kemaskini: 30/05/2019





KOTA BHARU 30 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan melantik dua pelajarnya sebagai pemerhati terlebih dahulu, sebelum dibuka ruang menjadi Anggota Senat universiti itu, selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Naib Canselornya Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata pendekatan itu diambil, memandangkan pelantikan secara langsung Anggota Senat dalam kalangan pelajar, memerlukan semakan semula perlembagaan universiti.

"Pelantikan pemerhati adalah lebih mudah untuk membuka jalan kepada usaha melantik pelajar sebagai Anggota Senat pada masa hadapan.

 "Pada dasarnya kita tidak ada masalah untuk melantik pelajar sebagai Anggota Senat, dan kita memang ada perancangan, cuma kita perlu terlebih dahulu meneliti perlembagaan universiti dan sebaik sahaja perkara ini jelas, kita boleh terus lantik mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Kelab Media Darulnaim (Kemudi) bersama UMK di Rumah Wartawan di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof Dr Zaliman Sauli dan Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim.

-- LAGI

 

UMK-SENAT 2 (AKHIR) KOTA BHARU

 

Noor Azizi berkata demikian bagi mengulas tindakan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang melakar sejarah, apabila menjadi universiti awam pertama yang melantik dua pemimpin pelajarnya, sebagai Anggota Senat manakala dua lagi sebagai pemerhati.

Beliau berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu dan bersetuju bahawa dua pemerhati yang akan dilantik adalah Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua MPP.

"Keutamaan kita adalah MPP, tetapi kalau pihak mereka sendiri mahu lantik orang luar, kita serahkan sahaja keputusan kepada mereka, namun tetap perlu ada seorang wakil dari MPP dalam Senat," katanya.

Sementara itu katanya pelantikan pelajar dalam Senat akan memberi peluang kepada mereka melihat perjalanan Senat serta memahami apa yang dibincangkan.

Katanya pelantikan itu juga akan membuka ruang kepada pelajar menyuarakan pendapat, bagi mewakili pelajar lain dan perkara itu dilihat mampu memberi impak yang lebih baik kepada pembangunan keseluruhan penuntut universiti itu.

-- BERNAMA


RBAR ZBI HIS

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel