Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PTPTN terima RM558.9 juta bayaran balik pinjaman setakat Mac 2019


Tarikh kemaskini: 29/05/2019





KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman yang diperoleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari Januari hingga Mac tahun ini adalah sebanyak RM558.9 juta.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Perhubungan Awam dan Pengurusan Majlis PTPTN, Abdul Ghaffar Yusof berkata jumlah bayaran balik sepatutnya diterima adalah RM300 juta sebulan, namun jumlah purata diperoleh dalam lingkungan RM150 juta sehingga RM180 juta. 

"Status pembayaran setakat ini masih di bawah tahap sebenar, sepatutnya tahun lepas, jumlah kutipan adalah RM4 bilion setahun kerana kita perlu beri pinjaman kepada pelajar baharu dan sedia ada.

"Peminjam yang membuat pemotongan gaji tiada masalah tetapi masih ada peminjam belum membuat pembayaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Bebas Hutang PTPTN  2018/2019 di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Ghaffar berkata sehingga April, jumlah yang tertunggak ialah sebanyak RM6.5 bilion yang melibatkan  350,000  peminjam dan ini menimbulkan masalah kekurangan dana saban tahun.

Beliau berkata sehingga April PTPTN telah meluluskan kepada lebih tiga juta peminjam dengan jumlah pinjaman  RM56 billion.

"Jumlah ini meningkat saban tahun dan PTPTN memerlukan jumlah dana yang besar yang mencecah  RM4 bilion setahun bagi menentukan ia dapat terus memberi pinjaman kepada pelajar pada masa depan.

"Bagaimanapun, jumlah pembayaran balik cuma mencecah 58 peratus daripada jumlah pinjaman yang sepatutnya telah dikutip,” tambah beliau.

Sementara itu pada majlis yang sama, bekas pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Looi Pek Chuan memenangi Pertandingan Bebas Hutang PTPTN anjuran YouthsToday.com, dengan hadiah berupa penyelesaian pinjaman daripada agensi berkenaan berjumlah RM33,709.19.

Looi berasal dari Pulau Pangkor, Perak, telah membuat 10,974 transaksi melalui aplikasi GoPay untuk pertandingan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Youthstoday.com, Jazz Tan berkata pertandingan itu terbuka kepada peminjam PTPTN yang membuat transaksi tertinggi dari segi pembayaran pelbagai bil, pascabayar dan bayaran utiliti bulanan menerusi aplikasi GoPay.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel