Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

SWM jalankan strategi operasi raya bermula 1 Jun ini


Tarikh kemaskini: 29/05/2019





JOHOR BAHRU, 29 Mei (Bernama) -- SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) akan  meneruskan aktiviti mengangkut sisa pepejal bermula 1 hingga 4 Jun ini, menerusi Strategi Operasi Aidilfitri.

Bagaimanapun, aktiviti berkenaan pada 5 Jun akan hanya tertumpu di kawasan berkepadatan umat Islam yang ramai, kawasan-kawasan protokol dan pusat bandar, bagi memberi ruang kepada petugas SWM Environment untuk menyambut Aidilfitri.

Pengurus Wilayah Johor Mohd Zan Arris berkata strategi tersebut dijalankan bagi memastikan perayaan Aidilfitri tahun ini bebas daripada sampah, yang menganggu keselesaan penduduk semasa sambutan perayaan berlangsung.

“Langkah tersebut diambil setelah memperhalusi kemampuan dan kekuatan tenaga kerja, yang sentiasa bersedia untuk mengawal limpahan sampah pada awal sambutan perayaan Aidilfitri nanti,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa SWM-Media Johor di Hotel Paragon, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri Johor, Tan Chen Choon.

Tambah Mohd Zan lagi, selaku syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Johor, strategi tahun ini juga melibatkan 300 pekerja setiap hari, bagi melakukan aktiviti pembersihan sampah berkenaan.

 Jelasnya lagi, langkah yang dilaksanakan pihak SWM Environment bukan sekadar memenuhi keperluan di kawasan perkhidmatan, malah turut memberi peluang kepada majoriti warga kerjanya yang beragama Islam untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini, disamping keluarga tersayang.

Kata Mohd Zan lagi, jadual perkhidmatan pengurusan sisa pepejal tersebut akan kembali beroperasi seperti biasa pada 6 Jun 2019. 

Pihak SWM Environment turut meminta orang ramai memanfaatkan Talian Indahkan Malaysia melalui 1-800-88-7472 atau Talian Whatsapp SWM di 012-6180082 yang akan beroperasi seperti biasa untuk menyalurkan sebarang aduan dan pertanyaan berhubung perkhidmatan berkaitan. 

“Saya menyeru kerjasama semua pihak untuk menjadikan jadual perkhidmatan yang disediakan sebagai panduan di samping membudayakan konsep sifar sisa, yang merangkumkan kaedah pengurangan sisa pepejal, kitar semula dan pengasingan sisa pepejal di punca (PSDP) sepanjang perayaan Aidilfitri nanti,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel