957HF2K_CLk Buruh binaan didakwa mahu serang kuil
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Buruh binaan didakwa mahu serang kuil


Tarikh kemaskini: 29/05/2019





KUALA TERENGGANU, 29 Mei (Bernama) -- Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan, termasuk berhubung aktiviti keganasan dan membuat ancaman serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, di Subang Jaya.

Tertuduh Mahadi Mamat, 34, hanya mengangguk faham ketika semua pertuduhan terhadapnya, dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mahadi didakwa mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan mengancam untuk membuat serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, dan mengancam untuk membunuh empat individu warganegara Malaysia, melalui kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa’.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kampung Teris, Hulu Terengganu, antara 7 Jan hingga 5 Mei 2019 mengikut Seksyen 130J (1) (b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda.

Untuk pertuduhan ketiga, Mahadi didakwa memberi latihan penggunaan senjata api kepada anggota kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa’ dalam persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130F (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa memberi arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada anggota kumpulan WhatsApp tersebut mengikut Seksyen 130F (b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun dan denda.

Dalam pada itu bagi pertuduhan kelima dan keenam, Mahadi didakwa mendapatkan enam butir ‘pipe bom’ dan sepucuk pistol semi-automatik CZ 75 B serta 15 butir peluru jenis ‘Luger 9mm’ untuk melaksanakan perbuatan-perbuatan pengganas.

Kesalahan di bawah Seksyen 130JD (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) itu membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda. 

Bagi kesalahan ketujuh, lelaki itu didakwa merekrut beberapa individu menyertai kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa’, untuk melakukan perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130E Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Berdasarkan pertuduhan terakhir Mahadi didakwa memilik item-item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dan perbuatan keganasan di dalam sebuah telefon bimbit, mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, dan denda, dan boleh dilucuthak mana-mana item berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 9 Julai ini bagi sebutan semula kes. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel