Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Aidilfitri: JPJ N. Sembilan beri tumpuan jalan negeri


Tarikh kemaskini: 29/05/2019





SEREMBAN, 29 Mei (Bernama) -- Op Khas sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan yang bermula hari ini, memberi tumpuan kepada jalan negeri, bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang jalan raya sekaligus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Azrin Borhan berkata operasi yang akan berlangsung sehingga 13 Jun itu, turut memberi fokus penguatkuasaan kepada pengangkutan awam.

“Kali ini seramai 180 anggota JPJ di negeri ini akan bertugas, kita akan beri tumpuan penguatkuasaan di jalan negeri, dan saya telah arahkan anggota untuk lipat gandakan operasi di kawasan hitam yang telah dikenal pasti di negeri ini.

“Selain itu, kita juga adakan penguatkuasaan di Terminal One Seremban bagi memeriksa tahap keselamatan bas, termasuk melakukan ujian saringan air kencing ke atas pemandu,” katanya dalam sidang media selepas melakukan pemeriksaan di Terminal One Seremban dalam Op Khas sempena Hari Raya Aidilfitri JPJ Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Katanya sebanyak 19 lokasi telah dikesan sebagai kawasan hitam melibatkan kawasan Seremban, Port Dickson, Tampin, Kuala Pilah, Jempol, Jelebu, Rembau dan Nilai.

Azrin berkata Op Khas kali ini turut mendapat kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bagi pelaksanaan advokasi kempen keselamatan jalan raya, dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi pelaksanaan penguatkuasaan dadah melalui ujian saringan air kencing.

“Selain itu, anggota JPJ negeri juga akan melaksanakan penyamaran dalam bas, sebagai penumpang ke destinasi-destinasi tertentu, bagi memastikan pemandu mengikuti setiap peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada ulat tiket agar tidak menjalankan aktiviti mereka, dan sekiranya ia dikesan, pihaknya akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi. 

“Sebelum ini kita sudah beri amaran, tetapi kali ini jika ia dikesan berlaku lagi kita akan ambil tindakan serta-merta mengikut Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel