g6XmiBN6Uec Bapa masalah mental pukul bayi hingga mati
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bapa masalah mental pukul bayi hingga mati


Tarikh kemaskini: 29/05/2019





KANGAR, 29 Mei (Bernama) -- Seorang bapa disyaki memukul bayinya berusia enam bulan sehingga mati di kediamannya di Kampung Baroh, Santan di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata suspek yang berusia 44 tahun itu bertindak memukul bayi perempuan tersebut selepas berlaku pertengkaran kerana diminta isterinya untuk makan ubat sakit mental. 

Susulan kejadian itu, ibu bayi berkenaan bertindak membawa bayi itu dan tiga lagi anaknya masing-masing berumur 2 hingga 7 tahun lari mendapatkan bantuan daripada seorang rakan suspek di Arau pada Isnin kira-kira pukul 11 malam kerana bimbang keselamatan mereka. 

"Bayi berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan baik pada 4 pagi semalam namun tidak bernafas kira-kira 9.30 pagi hari sama. Pihak Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang dihubungi tiba dilokasi kejadian memaklumkan bayi berkenaan telah meninggal dunia pada 3.24 petang," kata Noor Mushar. 

Susulan itu, pengadu telah membuat laporan polis berhubung kematian bayi berkenaan semalam. 

Menurut Noor Mushar pemeriksaan awal ke atas bayi itu tidak menemukan sebarang kecederaan namun bedah siasat akan dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar hari ini bagi mengenal pasti punca kematian bayi berkenaan.

Katanya tiada laporan dibuat isteri berkaitan keganasan rumah tangga dan suspek juga pernah beberapa kali mendapatkan rawatan sakit mental di HTF sebelum ini.

"Suspek dan isterinya yang berasal dari Thailand berkahwin pada 2011. Isteri tidak mempunyai dokumen pernikahan dan bayi terbabit yang lahir di sana (Thailand) juga tidak mempunyai dokumen sah," katanya.

Noor Mushar menambah bayi berkenaan tidak dibawa ke HTF kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah.

Suspek ditahan di kediamannya semalam kira-kira 4 petang dan direman bermula hari ini hingga 4 Jun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel