Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cetak semula buku langka - peminat


Tarikh kemaskini: 29/05/2019




Oleh Mohd Fakri Awang Lah

KOTA BHARU,  29 Mei (Bernama) -- Novel hasil tulisan sasterawan dan penulis terdahulu kini semakin mendapat perhatian terutama oleh generasi muda yang meminati sastera.

Bagaimanapun, kesukaran mendapatkan novel cetakan baharu memaksa mereka membeli buku langka ataupun buku terpakai daripada kedai-kedai buku yang menjual barangan itu.

Seorang peminat novel, Muhammad Razis Ismail, 35, berkata beliau terpaksa mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk membeli buku langka kerana ia semakin sukar didapati.

"Kadangkala saya terpaksa membelanjakan ratusan ringgit untuk membeli sebuah buku. Tiada cara lain untuk mendapatkan bahan bacaan yang diminati kerana tiada cetakan baharu yang diterbitkan kini.

"Justeru, kerajaan mahupun agensi bertanggungjawab perlu mengambil tindakan agar karya-karya lama ini tidak hilang ditelan zaman sekali gus dapat menyemarakkan kembali budaya membaca dalam kalangan generasi masa kini," katanya kepada Bernama di sini.

Pekerja swasta itu berkata selain itu, cetakan baharu juga dapat membantu golongan sasterawan memperoleh bayaran royalti hasil kegigihan mereka memperjuangkan sastera suatu ketika dahulu.

Seorang lagi peminat buku langka, Mohd Firdaus Hassan, 33, berkata beliau meminati buku langka ketika masih menuntut di sebuah universiti awam.

Beliau berkata buku langka mempunyai keistimewaan tersendiri terutama membabitkan penggunaan bahasa dan mesej yang ingin disampaikan oleh setiap penulis.

"Saya lihat buku langka lebih dekat dengan kehidupan apabila banyak membawa cerita-cerita berkaitan minat manusia selain fakta-fakta sejarah yang berlaku ketika sesebuah novel itu ditulis.

"Ia lebih dekat di hati penulis dan novel yang dipersembahkan terasa bagaikan benar-bernar berlaku di alam nyata seperti novel Salina karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang masih dibahaskan sehingga kini," katanya.

Sementara itu, seorang penjual buku langka, Fazreil Ghazali, 25,  berkata beliau mendapat bekalan buku langka daripada pusat kitar semula ataupun berkunjung dari rumah ke rumah.

"Selalunya saya bertanya kepada rakan-rakan di mana ada rumah guru-guru yang telah berpencen kerana kebanyakan mereka mempunyai koleksi buku yang banyak dan jika mereka ada koleksi yang saya ingini, saya akan menawarkan sejumlah harga yang berpatutan dan belian selalunya dibuat secara borong.

"Novel ataupun buku itu akan dijual kembali kepada pelanggan dan harganya bergantung kepada keadaan buku, tahun cetakan dan genrenya. Jika buku berkenaan bergenre sejarah, ia boleh dijual mahal," katanya yang membuka kedai buku secara sambilan di Bazar Tok Guru di sini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel