Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki cuba sogok pegawai PGA9 ditahan SPRM


Tarikh kemaskini: 29/05/2019





PASIR MAS, 28 Mei (Bernama) -- Tindakan seorang lelaki yang cuba merasuah seorang pegawai Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) sebanyak RM10,000 bagi membebaskan adiknya yang terbabit mengedar ketum, memakan diri apabila tindakannya itu bukan sahaja tidak dilayan malah mengakibatkan dirinya ditahan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Abdullah Mohamad Piah berkata lelaki berusia 32 tahun itu cuba merasuah pegawai PGA9 itu supaya melepaskan adiknya yang ditahan agensi itu bersama tiga individu lain dalam satu serbuan di Kampung Kedondong di Meranti di sini, petang semalam.

Abdullah berkata dalam kejadian pukul 10 malam itu lelaki berkenaan datang ke balai dan mengeluarkan wang sebanyak RM10,000 daripada beg silangnya dan memberikan kepada adiknya sebelum adik suspek diarah memberikan wang berkenaan kepada pegawai penyiasat kes untuk menyelesaikan kes tersebut.

“Bagaimanapun tindakan lelaki itu menyebabkannya menerima padah apabila ditahan pegawai SPRM yang turut berada di balai berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini, hari ini.

Beliau berkata tindakan pegawai berpangkat Inspektor itu adalah terpuji dan menunjukkan tahap intergriti yang tinggi kerana tidak mudah ‘tunduk’ dengan wang sogokan.

Dalam perkembangan sama, Abdullah berkata PGA9 sebelum itu bertindak menyerbu sebuah rumah dan menahan empat lelaki berusia antara 31 hingga 49 tahun bersama 787 kilogram daun ketum di Kampung Kedondong di sini.

Beliau berkata kesemua daun ketum bernilai RM23,600 itu diperolehi dari sebuah negeri di utara semenanjung untuk pasaran di sini selain diseludup ke Thailand.

"Setiap gulung daun ketum seberat 250 gram dijual dengan harga RM10 dan boleh mencecah RM30 hingga RM60 sekiranya dijual di negara jiran.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek kini sedang mendapatkan perintah reman daripada mahkamah," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel