Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

TDM catat pendapatan RM104.8 juta bagi suku pertama 2019


Tarikh kemaskini: 28/05/2019





KUALA TERENGGANU, 28 Mei (Bernama) -- Kumpulan TDM Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM104.8 juta bagi suku pertama 2019 berakhir 31 Mac, 2019.

Jumlah tersebut bagaimanapun susut 10 peratus daripada RM115.8 juta yang dicatatkan pada suku yang sama 2018 berikutan penyusutan pengeluaran dan hasil jualan kelapa sawit lebih rendah di bahagian perladangan.

Pengerusi, Datuk Raja Idris Raja Kamaruddin berkata bagaimanapun prestasi itu diimbangi oleh peningkatan pendapatan sektor penjagaan kesihatan sebanyak 14 peratus.

“Bahagian penjagaan kesihatan menunjukkan prestasi kukuh dengan peningkatan pendapatan daripada RM51.1 juta pada suku pertama tahun lalu kepada RM58.1 juta bagi tempoh sama tahun ini.

“Ia disumbangkan oleh pertambahan bilangan pesakit dan pesakit luar di empat hospital pakar kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi memperkukuh pendapatan syarikat, Raja Idris berkata TDM akan mewujudkan pusat kecemerlangan di empat hospital selain memperkenal pelbagai perkhidmatan baharu.

Ia melibatkan perkhidmatan penjagaan mata di Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS), perkhidmatan endovaskular di TMDC Hospital Kuala Lumpur dan angioplasti di Kuantan Medical Centre (KMC).

Bagi tanaman kelapa sawit pula, syarikat sedang mempertimbang untuk mengalih tumpuan kepada perniagaan hiliran bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor perladangan komoditi yang sering mengalami ketidaktentuan harga.

“Pusat penapisan mini berskala kecil antara prospek yang sedang dipertimbangkan dan kajian berkaitan perkara itu sedang berjalan.

“Selain menambah pendapatan syarikat, kita juga menyasarkan supaya pusat penapisan ini dapat membantu pengusaha kelapa sawit dalam skala kecil kerana ketidaktentuan harga komoditi paling menjejaskan mereka,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel