Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tengku Mahkota Kelantan dan isteri ziarah pesakit HRPZ II


Tarikh kemaskini: 28/05/2019





KOTA BHARU, 28 Mei (Bernama) -- Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra dan isteri Cik Puan Sofie Louise Johansson hari ini berkenan meluangkan masa lebih sejam menziarahi 67 pesakit di wad Anggerik dan Puteri di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata dalam kunjungan itu baginda turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada semua pesakit di kedua-dua wad berkenaan.

"Tengku Mahkota sememangnya seorang yang berjiwa rakyat dan sangat kasihkan kanak-kanak malah selalu mengambil berat kesusahan rakyat negeri ini.

"Sekiranya ada terdengar mengenai kesusahan hidup yang dialami rakyat, baginda akan turun padang menziarah dan menyampaikan sendiri sumbangan," katanya kepada pemberita di Program Ziarah Tengku Mahkota Kelantan bersama isteri baginda di HRPZII di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua MAIK Tengku Temenggong Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Pengarah Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin dan Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Dalam majlis sama, Tengku Mahkota turut mengurniakan sumbangan wang zakat MAIK berjumlah  RM30,000 bagi kegunaan pesakit asnaf di hospital itu.

Sementara itu, Nik Mohd Azlan berkata MAIK memperuntukkan sejumlah RM10 juta wang zakat untuk diagihkan sepanjang bulan Ramadan tahun ini kepada pelbagai lapisan masyarakat yang memerlukan.

Dalam pada itu, seorang pesakit, Siti Meriam Daud, 68, berkata kunjungan Diraja itu amat bermakna baginya kerana buat pertama kali dapat menatap wajah Tengku Mahkota.

Katanya lawatan tersebut juga memberi kegembiraan berganda baginya kerana hari ini beliau juga telah dibenarkan pulang ke rumah selepas lebih sebulan menjalani rawatan di HRPZ II akibat serangan jantung dan angin ahmar.

"Saya amat bersyukur kerana hari ini mendapat dua berita gembira. Selama saya hidup inilah kali pertama dapat menatap wajah Tengku Mahkota malah dapat bercakap dan menerima sumbangan daripada baginda di hari saya dibenarkan pulang dari hospital," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel