Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kilang haram di Telok Gong kebal kerana dilindungi Datuk


Tarikh kemaskini: 28/05/2019





PELABUHAN KLANG, 28 Mei (Bernama) – Kegiatan kilang kitar semula plastik dan tayar tidak berlesen yang beroperasi di sekitar Kampung Teluk Gong, di sini didakwa oleh penduduk tempatan dilindungi oleh orang berpengaruh berpangkat ‘Datuk’.

Penduduk di kawasan berkenaan juga seakan-akan berat mulut untuk bercerita panjang mengenai kilang-kilang berkenaan ketika ditanya Bernama yang melakukan tinjauan di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Zambri, 41 berkata terdapat kira-kira 50 kilang kitar semula plastik dan tayar yang  berlesen dan tidak berlesen yang beroperasi di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Mereka ini dilindungi oleh orang yang berpengaruh, bukan sahaja penduduk di sini tidak berani kacau kilang ini, anggota Majlis Perbandaran Klang (MPK) pun tidak berani, abang-abang kawasan juga bertindak menghalang dan menganggu anggota pihak berkuasa yang melakukan pemantauan,”katanya yang merupakan penduduk asal kawasan berkenaan kepada Bernama.

Katanya lagi, kilang-kilang yang dikenakan tindakan oleh oleh pihak berkuasa juga turut berani beroperasi semula walaupun telah diarahkan tutup.

“Pada awal tahun ini ada operasi besar-besaran oleh kerajaan, tetapi selepas seminggu kilang-kilang ini kembali beroperasi seperti biasa, kita penduduk kampung yang terpaksa menanggung risiko kesihatan kerana kilang ini kerap melakukan pembakaran plastik dan getah di waktu petang dan awal pagi,”kata  pemandu teksi itu.

Tinjauan Bernama di kawasan berkenaan mendapati sisa-sisa kimia dari proses kitar semula plastik dan tayar telah disalurkan ke longkang dan tali air sehingga airnya berwarna hitam dan berbau busuk, longkang dan tali air berkenaan juga didapati bersambung ke kunci air di jeti nelayan berhampiran.

Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri melahirkan rasa kecewanya terhadap ketegasan MPK dalam menangani isu kilang haram di kawasan berkenaan.

Kata Azmizam, banyak kilang tidak berlesen yang dikenakan tindakan oleh MPK, kembali beroperasi selepas seperti biasa.

“Seperti contoh kilang kitar semula plastik haram di Sungai Chandong, Bandar Armada Putra di Pulau Indah kembali beroperasi walaupun telah dikenakan tindakan, kilang ini setiap hari melakukan pembakaran terbuka yang memberi risiko kesihatan kepada penduduk sekitar, kilang di Teluk Gong juga sama, kembali beroperasi walaupun telah dikenakan tindakan oleh MPK.

“Malah semakan saya dengan Tenaga Nasional Berhad turut mendapati MPK tiada langsung mengutus surat kepada TNB untuk memohon agar bekalan elektrik ke kilang haram ini diputuskan, TNB sememangnya bersedia untuk bekerjasama bagaimanapun ia perlu dimaklumkan secara bertulis oleh MPK sendiri,” katanya.

Katanya lagi perkara itu memperlihatkan MPK tidak serius bertindak dalam hal berkenaan kerana sebarang tindakan penguatkuasaan perlu ada tindakan susulan yang aktif agar kilang-kilang ini tidak kembali beroperasi.

“PBT (MPK) perlu ambil tindakan serius dalam hal ini kerana isu ini telah menjejaskan imej negara dan kerajaan, jangan hanya berani ambil tindakan ke atas ikan bilis, ambil juga tindakan ke atas ikan-ikan jerung ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perlesenan dan Penjaja MPK Azhar Samsudin berkata sehingga April sebanyak sembilan buah kilang kitar semula plastik tidak berlesen telah diarahkan berhenti beroperasi serta-merta dan perlu membersihkan longgokan plastik terpakai yang ada dalam simpanan masing-masing.

“Untuk tempoh yang sama kita (MPK) telah mengenalpasti terdapat sebanyak 41 kilang kitar semula plastik tidak berlesen beroperasi di kawasan Klang, kilang-kilang ini kita sedang awasi dan akan kami ambil tindakan secepat mungkin,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel