Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lapan penguat kuasa JPJ, bekas anggota SPAD didakwa terima rasuah


Tarikh kemaskini: 28/05/2019





BUTTERWORTH, 28 Mei (Bernama) -- Lapan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke  Mahkamah Sesyen di sini atas 164 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM135,810 daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Kesemua mereka turut berdepan 164 pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa balasan daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama untuk melindungi pemandu lori berkenaan.

Lapan penguat kuasa JPJ itu ialah  Pemeriksa Kereta Motor, JPJ Pulau Pinang, Muhamad Shukri Ishak, 36, Pembantu Penguat Kuasa, Muhammad Firdaus Jaafar, 46,  Pemeriksa Kereta Motor, Khairol Naim Mat Desa, 34,  Pembantu Penguat Kuasa, M Muniandy, 45, Pemeriksa Kereta Motor, Noorzaimi Effendi Salleh, 36, dan Pembantu Penguat Kuasa, Mohd Fairdaus Ishak, 35.

Turut didakwa ialah Pembantu Penguat Kuasa, Katimi Azmi, 35, Pembantu Penguat Kuasa, Pirdaus Abd Karim, 34, dan bekas Pembantu Penguat Kuasa SPAD Wilayah Utara, Mohd Noor Fadzny Noordin, 32.

Pada prosiding hari ini, Muhamad Shukri berdepan 16 pertuduhan utama dan 16 pertuduhan pilihan melibatkan rasuah bernilai RM24,000; Muhamad Firdaus didakwa atas 33 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM10,950;  Khairul Naim dituduh atas 13 pertuduhan utama dan pilihan melibatkan RM24,000 dan Muniandy berdepan 15 pertuduhan utama dan pilihan dengan nilai keseluruhan RM10,150.

Sementara itu Norzaimi turut berdepan 18 pertuduhan utama dan alternatif melibatkan nilai rasuah sebanyak RM23,550; Mohd Fairdaus didakwa atas 15 pertuduhan utama dan alternatif membabitkan nilai RM4,210, Katimi (11 pertuduhan utama dan pilihan melibatkan RM16,600); Pirdaus (13 pertuduhan utama dan pilihan dengan nilai RM8,600) manakala Mohd Noor Fadzny didakwa atas 30 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan nilai RM13,650.

Kesemua individu tersebut mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan utama dan pertuduhan alternatif yang dihadapi mereka  ketika pertuduhan dibacakan secara  berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria yang mengambil masa kira-kira empat jam. 

Mengikut pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka wang tunai daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport &Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd, Ooi Cheng Keat 46, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori  milik syarikat-syarikat terbabit yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa buah bank di Bukit Mertajam di sini di antara Januari 2015 dan Ogos 2018.

Kesemua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, kesemua tertuduh didakwa memperoleh untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa balasan berupa wang tunai daripada Ong bagi tujuan yang melibatkan   penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori-lori milik syarikat Ong.

Untuk pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda  atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini  menawarkan jaminan masing-masing RM20,000 bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh berserta seorang penjamin dan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM11,000 hingga RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan kes.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel