Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Untuk elak dana bercampur, IPSB buka tiga akaun - Saksi


Tarikh kemaskini: 28/05/2019





KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa syarikat itu membuka tiga akaun yang berlainan di Affin Bank untuk memastikan dana tidak bercampur.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, saksi ke-37 pihak pendakwaan itu berkata tiga akaun tersebut dibuka berdasarkan cadangan Datuk Abdul Aziz Ismail.

"Satu akaun menerima wang yang kemudian disalur kepada dua akaun bagi masing-masing bagi program CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) dan perbelanjaan operasi. Ia dilakukan (untuk memastikan bahawa) kita tidak mencampurkan dana," katanya.

Saksi berusia 58 tahun memberi keterangan pada hari ke-19 perbicaraan  Najib, 66, yang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Ihsan Perdana menerima RM20 juta setahun dari 1MDB dan RM20 juta setahun lagi dari YR1M ... Mengapa YR1M menyalurkan dana kepada Ihsan Perdana untuk tujuan Tanggungjawab Sosial Korporat apabila YR1M sendiri sudah mempunyai program CSR sendiri?

Shamsul: Ihsan Perdana menjalankan program di kawasan yang berbeza...untuk komuniti luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, kepada andaian Harvinderjit bahawa syarikat itu bukan semata-mata syarikat kilat, saksi itu berkata IPSB mempunyai 21 kakitangan.

Harvinderjit: Saya ingin menolak pandangan bahawa IPSB ditubuhkan hanya untuk menyalurkan dana keluar?  Shamsul menjawab "Pastinya tidak."

Apabila ditanya mengapa rakan CSR 1MDB menukar namanya daripada Gem Horizon Sdn Bhd kepada IPSB, beliau berkata ia dilakukan untuk menjadikan (nama syarikat) lebih menarik." 

Harvinderjit:  Mengapa anda menukar nama daripada Gem Horizon kepada Ihsan Perdana?

Shamsul: Kami memerlukan sesuatu yang menarik untuk melaksanakan CSR. Ihsan adalah (amal).Jika kami menggunakan Gem, ia seoleh-oleh seperti kami menjual permata.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel