Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Berbuka di tengah lautan sudah menjadi lumrah


Tarikh kemaskini: 28/05/2019





KUANTAN, 28 Mei (Bernama) -- Berbuka puasa di tengah-tengah lautan di atas dek kapal sambil peka dengan persekitaran menjadi lumrah kepada 91 anak kapal aset Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Pahang demi tugas kepada negara. 

Tepat jam 5 petang, anak kapal yang ditugaskan untuk membantu persiapan berbuka puasa akan membentangkan tikar di kawasan dek, sementara sebahagian daripada mereka ditugaskan membantu di dapur menyiapkan hidangan. 

Bagi Laskar Kelas 1 BDI Muhammad Adifitri Aziz, 25, yang bertugas sebagai tukang masak di KD Pahang, untuk tahun ini mereka membuat kelainan dengan menghidang makanan di dalam talam, sebagai simbolik untuk mengeratkan silaturahim sesama anggota. 

"Pemilihan menu dibuat dengan perbincangan melibatkan pihak tertinggi dalam pengurusan kapal, tapi adakalanya kami mengambil kira pandangan daripada anak kapal, jika ada menu yang mereka mahu. 

"Bahan untuk memasak akan disiapkan di darat dan dibawa ke dalam kapal sebelum mula belayar kerana di laut tiada kedai untuk kami membeli," katanya kepada pemberita yang berkesempatan merasai pengalaman berbuka di KD Pahang yang belayar di Perairan Kuantan di sini, baru-baru ini. 

Bukan sebarang menu, hidangan yang dinikmati cukup lengkap sehingga ke peringkat pencuci mulut yang mana pengamal media dijamu dengan ayam bakar, gulai kambing bersama batang pisang, sambal tumis udang dan pulut mangga. 

Muhammad Adifitri berkata persiapan untuk memasak, yang melibatkan lima tukang masak, bermula pada waktu pagi khususnya jika menu pada hari itu melibatkan kuih tradisional yang memakan masa untuk disiapkan. 

"Lazimnya kami cuba untuk menyediakan lebih daripada sejenis kuih supaya anak kapal mempunyai pilihan. Walaupun jauh dari keluarga atau bazar Ramadan, sebagai tukang masak kami mahukan setiap anak kapal mendapat yang terbaik," katanya. 

Muhammad Adifitri menambah, jika mereka perlu bertugas pada hari raya, beliau dan rakan-rakan di dapur perlu kreatif untuk menyediakan juadah Aidilfitri di tengah lautan. 

"Sudah pasti kami tidak boleh membakar lemang di atas kapal, jadi sebagai alternatifnya kami mengukus lemang. Mungkin tidak sama (rasanya) dengan yang dimasak secara tradisional, tapi kami cuba juga supaya tidak terasa kosong di hari raya," katanya. 

Bagi Lefenan Mohamad Nazirul Mubin Zaidy, 30, yang bertugas di bahagian bekalan KD Pahang, beliau menyifatkan berbuka di kapal sudah menjadi biasa kepada semua mereka, kerana menyedari tugas mereka memerlukan mereka sentiasa bersiap siaga pada setiap masa. 

Bagaimanapun, beliau tidak merasa 'kekurangan' kerana kahadiran rakan sekerja menjadikan suasana tetap meriah selain 'alah bisa tegal biasa' menjadikan beliau sudah biasa berjauhan daripada keluarga.

Pegawai Waran Ahmad Hafiz Yahya, 40, berkata selepas berbuka, semua anak kapal akan bergotong-royong mengemas dan membersihkan tempat berbuka sebelum berjemaah menunaikan solat Maghrib. 

"Selepas itu, kami akan menunaikan solat Tarawih juga secara berjemaah sebelum menikmati sedikit moreh apabila selesai. Alhamdulillah kami cuba memanfaatkan Ramadan sebaik mungkin walaupun sedang bertugas," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel