Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Empat lagi masjid dikendalikan Orang Asli menjelang hujung tahun


Tarikh kemaskini: 28/05/2019





KUANTAN, 28 Mei (Bernama) -- Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyasarkan empat lagi masjid yang akan dikendalikan masyarakat Orang Asli, menjelang hujung tahun ini. 

Timbalan Yang Dipertuanya Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata empat masjid itu ialah Kampung Leria di Cameron Hinglands, Kampung Runchang (Pekan), Kampung Buluh Nipis (Muadzam Shah) dan Kampung Senderut (Lipis). 

Setakat ini, terdapat enam masjid yang dikendalikan masyarakat Orang Asli iaitu Kampung Pantos (Lipis), Kampung Boh (Cameron Highlands), Kampung Pasal (Bera), Kampung Panderas (Temerloh), Kampung Sungai Emas (Kuantan) dan Kampung Bukit Serok (Muadzam Shah). 

"Masjid ini dikendalikan oleh imam daripada masyarakat Orang Asli yang merupakan lepasan Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PETAMA), iaitu proses pembelajaran agama yang mengambil masa selama setahun. 

"Kita kini dalam proses memilih mereka yang layak untuk dihantar ke kampung terlibat sebagai imam dan bilal di empat masjid ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat MUIP, Insentif Huffaz Mutqin Yayasan Pahang dan Pek Ramadhan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) di Kompleks Yayasan Pahang di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) Datuk Dr Zulkifle Ali dan Naib Canselor UCYP Professor Datuk Dr Ahmad Zainuddin.

Pada majlis itu, seramai 70 pelajar PETAMA, 300 pelajar MTNP dan 70 kakitangan UCYP yang layak menerima sumbangan daripada MUIP. 

Wan Abdul Wahid berkata imam dan bilal yang terpilih juga akan dilantik sebagai pembantu di masjid supaya dapat memberi nasihat dan rujukan masyarakat kampung Orang Asli dalam permasalahan agama. 

"Imam yang layak juga akan menyampaikan khutbah dalam bahasa suku kaum mereka seperti Semai atau Jakun supaya lebih difahami dan lebih dekat dengan masyarakat tersebut," katanya. 

Untuk rekod, PETAMA diwujudkan oleh Yayasan Pahang pada 3 Mei 1998 bagi melahirkan pemimpin berilmu dalam kalangan masyarakat Orang Asli, dengan sokongan MUIP, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang. 

Setakat ini, seramai 700 pelajar Orang Asli berjaya menamatkan pengajian, dengan bantuan pembiayaan daripada MUIP berjumlah RM2,400 setiap seorang sepanjang tempoh pengajian. 

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel