Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

12 individu hilang lebih setengah juta ditipu


Tarikh kemaskini: 28/05/2019





SEPANG, 28 Mei (Bernama) -- Kegiatan penipuan (scam) melalui penggilan telefon di daerah ini semakin membimbangkan, dengan 12 individu telah menjadi mangsa dalam tempoh lima bulan pertama, tahun ini melibatkan kerugian berjumlah RM525,242.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita berusia antara 21 hingga 65 tahun, dengan pelbagai latar belakang pekerjaan dan bangsa.

"Tiga orang adalah peniaga, tiga eksekutif syarikat, selebihnya setiausaha, jurutera, suri rumah, jurujual, pesara kerajaan dan pegawai teknologi maklumat (IT)," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata seorang daripada mangsa diperdaya sehingga RM244,000 selepas menerima panggilan telefon daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Citibank yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes penipuan kad kredit.

Mangsa menafikan penglibatan dalam kes itu, dan suspek menawarkan diri membantu melalui Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan meminta mangsa menghantar Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterimanya kepada suspek dan mangsa telah berikan nombor TAC secara berperingkat hingga berjumlah RM244,000.

Dalam satu lagi kes, Abdul Aziz berkata mangsa berkenalan dengan individu bernama "Derick Martins" melalui laman sesawang sosial Grindr yang ingin menghantar wang tunai US$150,000 kepada mangsa menggunakan kargo.

"Mangsa menerima panggilan ejen kargo, mengatakan barangan telah ditahan pihak Kastam dan meminta mangsa membuat bayaran untuk mengisytihar wang tunai tersebut. Pengadu buat bayaran berperingkat hingga RM76,530 sebelum merasakan dirinya ditipu,” katanya.

Abdul Aziz berkata polis menghadapi kesukaran dalam menyiasat kes sedemikian memandangkan sindiket menggunakan nombor akaun individu lain untuk melakukan transaksi.

"Contohnya mereka memberi upah kepada seorang remaja kampung berusia 17 tahun untuk menggunakan nombor akaun ibunya. Bila kita tangkap, wanita itu kata tidak tahu menahu, kerana akaun dipegang anaknya.

"Anaknya pula kata ada orang beri upah nak tumpang akaun. Bila kita siasat benar dia dapat upah saja, jadi siapa yang kita hendak dakwa?" katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata polis Sepang berjaya menyelesaikan 11 kes pecah rumah di Apartment Savanna Executive Suites, Dengkil dengan penahanan dua lelaki dan seorang wanita pada 17 Mei lepas.

"Bila kita siasat, seorang daripada lelaki itu mempunyai 23 rekod jenayah, seorang lagi ada dua rekod jenayah dan wanita tersebut pula mempunyai 11 rekod jenayah," katanya.

Abdul Aziz berkata pelbagai barang curi turut dirampas antaranya 29 telefon bimbit, 15 jam tangan, empat kad bank, tiga kamera, dua komputer riba, barang kemas, topi keledar, sebuah kereta dan pelbagai alatan pecah rumah.

"Berdasarkan barangan yang dirampas kita percaya kumpulan ini juga aktif melakukan kegiatan pecah rumah, ragut dan pecah kereta di daerah-daerah berdekatan," katanya.

Bagaimanapun, katanya polis masih mengesan dua lagi lelaki Syed Ahmad Zaki Syed Zin, 30, yang merupakan suami kepada suspek wanita terbabit dan Ahmad Eiman Razali, 23, yang turut disyaki terbabit dengan kes itu.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Sub Inspektor Roselee Ibrahim di talian 013-8961912 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes di  bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel