Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mudah cara pemilikan tanah kebun kelapa sawit Orang Asli


Tarikh kemaskini: 28/05/2019





ROMPIN, 28 Mei (Bernama) -- Kementerian Industri Utama memohon supaya Menteri Besar dan Ketua Menteri dapat memudah cara pemilikan tanah yang diusahakan oleh masyarakat Orang Asli dengan tanaman kelapa sawit. 

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ini kerana pemilikan tanah merupakan syarat utama dalam pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) kelapa sawit, yang wajib dipatuhi menjelang hujung tahun ini. 

"Kerajaan telah menetapkan pensijilan MSPO yang melibatkan penyertaan semua pihak dalam industri kelapa sawit termasuk pekebun kecil, pengusaha ladang dan pihak pengilang bagi memastikan minyak sawit negara kita dihasilkan melalui pengeluaran mampan. 

"Kami menghadapi beberapa cabaran untuk membantu pekebun Orang Asli mendapatkan pensijilan MSPO tapi isu yang paling mencabar ialah dalam isu pemilikan tanah dan berharap mendapat kerjasama Ketua Menteri dan Menteri Besar untuk menyelesaikannya" katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Shamsul Iskandar ditemui selepas merasmikan Program Jom MSPO Pekebun Kecil Orang Asli Pahang di Dewan Besar DARA, Muadzam Shah di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang Johari Alwi.

Pada majlis itu, Shamsul Iskandar juga menyampaikan pensijilan MSPO kepada 26 pekebun kelapa sawit Orang Asli dari Jerantut dan Pahang serta dana RM100,000 setiap satu kepada Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) daerah Bera dan Maran. 

Beliau berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga mengambil inisiatif menyatukan pekebun kecil melalui penubuhan Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) dalam usaha membantu mereka memperoleh pensijilan MSPO. 

"Pekebun kecil yang menyertai SPOC dan pensijilan MSPO berpeluang menikmati pelbagai faedah untuk meningkatkan produktiviti malalui amalan pertanian yang baik, seterusnya membantu menghasilkan pendapatan lebih tinggi," katanya. 

Beliau berkata setakat 31 Mac lalu, sebanyak 115 daripada 162 SPOC di seluruh negara telah mendapat pensijilan MSPO yang melibatkan penyertaan 8,561 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun sebanyak 33,008 hektar. 

Sembilan SPOC yang sedang menjalani proses audit dijangka menerima pensijilan mereka pada hujung bulan ini dan baki 38 SPOC sedang dalam proses pensijilan yang dijadualkan selesai pada November ini. 

Shamsul Iskandar juga memaklumkan KPSM Bera dan Maran merupakan penerima terawal dana Skim Pinjaman Mudah Tanpa Faedah yang secara keseluruhan akan melibatkan 10 KPSM, terdiri daripada empat penerima di Semenanjung dan masing-masing tiga di Sabah serta Sarawak, melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta. 

"Dana ini yang disediakan kerajaan adalah untuk membantu KPSM mengembangkan aktiviti perniagaan. Kami membuka mana-mana KPSM untuk memohon, namun mereka akan disaring supaya memenuhi kriteria seperti aktif dan berpotensi besar," katanya. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel