Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MSN setuju cadangan KOM lantik Dwayne Millers


Tarikh kemaskini: 27/05/2019





KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) - - Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju dengan cadangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menggunakan khidmat Dwayne Millers sebagai ketua jurulatih pecut negara.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya diamanahkan oleh KOM untuk menguruskan hal tersebut dan akan berhubung dengan jurulatih dari Amerika Syarikat itu dalam masa terdekat.

"Kita akan berhubung dengan Millers dan tanya sama ada beliau berminat atau tidak. Isu berkaitan gaji kita akan bincangkan nanti bila beliau telah bersetuju. Tugas beliau sebagai ketua jurulatih dan beberapa jurulatih pecut lain akan berada dibawahnya.

"Ini kerja berpasukan antara ketua jurulatih, jurulatih dan juga atlet sendiri. Mereka perlu serasi bersama untuk menjayakan program yang bermutu dan menggilap bakat atlet pecut kita," katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN dengan sukan olahraga, hari ini.

Beliau juga mengumumkan pelantikan Datuk Paduka Mumtaz Jaafar sebagai penyelaras program jurulatih di bawah KOM di mana tugasnya adalah untuk menyelaraskan program latihan kepada atlet yang tidak mempunyai jurulatih spesifik.

Sementara itu, Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata, pelantikan jurulatih luar negara itu adalah bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih bermutu kepada atlet dan juga jurulatih pecut yang ada sekarang.

Katanya, apa yang penting ialah atlet kebangsaan perlu menerima program latihan yang akan disediakan oleh ketua jurulatih baharu itu.

"Latihan bukan mudah. Mereka kena terima perbezaan latihan itu. Kita sekarang ada ramai atlet pecut, saya tidak pernah tengok bilangan macam ini sebelum ini. Jadi KOM kena jaga mereka," katanya.

Karim dalam masa sama turut menyelar kenyataan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yang menyatakan bahawa sukar untuk atlet mempertahankan pingat emas acara 100m Sukan SEA pada edisi di Filipina nanti.

"Poad menyerah kalah sebelum bertanding dengan menyatakan acara pecut sukar untuk menang di Sukan SEA. Itu tidak bagus. Jurulatih telah jatuhkan semangat atlet untuk bertanding. Ia bukan satu etika jurulatih yang baik.

" Mungkin betul kita tidak boleh menang tetapi ia tidak bagus. Jangan mengaku kalah. Kita kena beri cabaran kepada pelari pecut lain. Belum tahu boleh menang atau tidak," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel