Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Makmal forensik CyberSecurity, Malaysia antara paling canggih di dunia


Tarikh kemaskini: 27/05/2019





Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- CyberSecurity Malaysia dan makmal-makmal forensik digitalnya adalah antara yang paling canggih di dunia, kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

Dalam Indeks keselamatan siber global (GSI), Malaysia diletakkan dalam ranking 10 teratas sejak kajian pertama dijalankan pada 2014.  Indeks itu yang mengukur komitmen negara-negara terhadap keselamatan siber, merupakan inisiatif Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), sebuah agensi bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

"Tidak ramai rakyat Malaysia yang tahu mengenainya. Bagaimanapun, CSM dan keupayaannya terkenal dan diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Dalam ranking global GCI 2018 terkini, Malaysia menduduki tempat kelapan.

Malaysia menduduki tempat kedua di Asia Pasifik, meraih skor tertinggi bagi organisasi dan pembangunan kapasiti, menurut laporan 2018 itu.

"Malaysia menubuhkan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) yang mengetuai dan memantau semua aspek mengenai keselamatan siber negara, dengan menyelaras dan menyepadukan pakar dan sumber terbaik negara dalam bidang keselamatan siber.

"NACSA ??juga menjalankan program latihan dan kesedaran berkala mengenai isu keselamatan siber kepada profesional dari sektor awam dan swasta," menurut laporan ITU.

Amirudin berkata makmal forensik digital CSM ditubuhkan pada 1998.

CSM melihat agensi penguatkuasaan undang-undang, syarikat berkaitan kerajaan dan agensi swasta sebagai pelanggannya, termasuk Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

Menurut laman web CSM, ia telah menyumbang dalam menyelesaikan pelbagai kes forensik, termasuk kes-kes berprofil tinggi seperti kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, perjudian haram bola sepak secara dalam talian semasa Piala Dunia 2010, skim Ponzi haram Danafutures, kes penipuan kad kredit Maldives serta kes-kes di Mahkamah Hak Harta Intelek.

Semua laporan dan testimoni daripada penganalisis CSM diterima oleh mahkamah Malaysia.

"Kami juga membantu Interpol (Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa) dalam menyediakan Garis Panduan Global untuk Makmal Forensik Digital, yang merupakan pengiktirafan terhadap kecekapan dan kepakaran CSM dalam bidang itu," katanya.

Garis panduan yang menjelaskan prosedur bagi menubuhkan dan menguruskan makmal forensik digital serta panduan teknikal untuk mengurus dan memproses maklumat digital, akan diedarkan kepada semua 194 negara anggota.

Dokumen ini dikeluarkan oleh Interpol untuk memastikan bukti digital yang dihasilkan oleh makmal forensik digital akan diterima oleh mahkamah di negara anggota serta sebagai sistem keadilan jenayah antarabangsa, katanya dalam kenyataan.

Menurut Amirudin, makmal forensik digital CSM adalah makmal pertama di Asia-Pasifik yang memperoleh pengiktirafan Interpol.

"Ia mempunyai keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan forensik digital, termasuk forensik komputer, forensik multimedia, forensik telefon bimbit dan perkhidmatan pemulihan data, forensik biometrik, forensik peranti tertanam forensik pengkomputeran awan dan data raya," katanya.

Setiap makmal dilengkapi perkakasan dan perisian canggih mengikut setiap disiplin forensik, dan dapat memberi perkhidmatan kepada sektor awam dan swasta.

Amirudin juga berkata CSM berjaya membantu banyak negara, terutama dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara ASEAN, dalam mempertingkat keselamatan siber.

"Dengan bantuan Malaysia melalui inisiatif seperti Program Kerjasama Teknikal Malaysia, kami membantu negara-negara untuk meningkatkan sistem keselamatan siber mereka serta kedudukan dalam GSI."

Malaysia ialah pengerusi lepas dan setiausaha tetap Pasukan Respon Kecemasan Komputer OIC. Ia juga merupakan timbalan pengerusi Pasukan Respon Kecemasan Komputer Asia-Pasifik, katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel