Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Maszlee bersahur bersama lebih 100 pelajar UTM menerusi ‘Singgah Sahur KMJ’


Tarikh kemaskini: 27/05/2019





JOHOR BAHRU, 27 Mei (Bernama) -- Minggu akhir Ramadan dimanfaatkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dengan bersahur bersama lebih 100 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini, awal hari ini.

Menerusi program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu, Maszlee dan lebih 20 pengamal media di negeri ini mengagihkan set makanan Nasi Ambeng dan minuman sebelum bersahur bersama-sama pelajar daripada beberapa fakulti di Arked Lestari, universiti berkenaan.

Pada program yang turut dihadiri Naib Canselor UTM Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar dan Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak itu, Maszlee yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam meluangkan masa memberi ucapan dan kata-kata semangat kepada para pelajar.

“Ini (Singgah Sahur KMJ dan KPM) merupakan sebahagian aktiviti kemasyarakatan dan saya alu-alukan program seumpama ini sebagai usaha merapatkan hubungan antara media dengan KPM.

“Untuk tahun depan, kita (KPM) minta kelab-kelab media dan universiti-universiti di negeri lain menganjurkan program sama seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.

Terdahulu, pada program berkenaan, konvoi berkereta Maszlee dan para pengamal media yang bermula pada 2 pagi singgah di Balai Bomba dan Penyelamat Larkin sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara serta Plaza Tol Skudai arah selatan dan berakhir pada kira-kira 4 pagi di UTM.

Selain menyerahkan set bungkusan makanan dan minuman kepada anggota polis, bomba dan petugas Plaza Tol Skudai, Maszlee turut meluangkan masa beramah mesra dengan mereka.

Sementara itu, Mohamad Fauzi berkata, program Singgah Sahur KMJ itu memasuki kali kelapan penganjurannya sejak 2012 dan lebih manis, ia pertama kali disertai menteri kabinet.

Pada program kali ketujuh 14 Mei lepas, Singgah Sahur KMJ mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya ia disertai Menteri Besar Johor.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel