Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nafas sudah kemuka pelan perniagaan kepada MOA - Salahuddin


Tarikh kemaskini: 26/05/2019





JOHOR BAHRU, 26 Mei (Bernama) -- Kepimpinan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah mengemukakan pelan perniagaannya kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bulan lepas, kata Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub.

Katanya pelan tersebut meliputi empat bidang iaitu perladangan, ruminan, ayam dan padi.

"Saya telah melihatnya dan mengkajinya, dan saya beri keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan Nafas yang baharu, untuk mereka membuat pelbagai inisiatif.

"Kementerian akan membantu dari aspek kepakaran seperti melibatkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang dan sebagainya," katanya selepas merasmikan Program Kasih Peladang Parlimen Pulai, ketika diminta mengulas sejauh mana peranan Nafas ketika ini.

Menurutnya, pelan perniagaan itu juga akan dihadam dan direalisasikan dalam beberapa insiatif dan strategi, yang sekali gus dapat meningkatkan sektor makanan negara pada masa akan datang.

Namun menurutnya apa yang penting, Nafas yang baru dipulihkan dengan pembentukan kepimpinan baharu itu, dapat menjadi 'payung' kepada hampir 900,000 peladang di seluruh negara.

Katanya proses penstrukturan kembali pertubuhan itu sedang berjalan, sejak Nafas bebas daripada penggantungan, 15 Jan lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga dua nelayan, yang ditemukan meninggal dunia selepas hilang di perairan Pulau Pisang dekat Pontian, dan kementerian akan meneliti bantuan kepada keluarga kedua-dua mangsa.

Khamis lepas, Mohd Yusni Mohd Yusof, 43, dan sepupunya Mohd Khair Ismail, 38, dilaporkan hilang selepas menjaring ikan di perairan Pulau Pisang.

Operasi mencari dan menyelamat kemudiannya menemukan mayat kedua-dua mereka terapung di kedudukan kira-kira 1 batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat dan kira-kira 1 batu nautika barat daya Sungai Tampok, Benut, dekat Pontian, pagi tadi.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel