Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Setiausaha Bersatu negeri : Mohd Solihan akui berbincang dengan Dr Sahruddin


Tarikh kemaskini: 26/05/2019





JOHOR BAHRU, 26 Mei (Bernama) -- Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd Solihan Badri mengakui ada berbincang dengan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, berhubung jawatan Setiausaha parti yang disandang Dr Sahruddin sebelum ini.

Mohd Solihan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang berkata pada masa sama, beliau turut menyampaikan pandangan anggota parti mengenai ketidaksuaian jawatan Setiausaha untuk terus disandang Menteri Besar.

"Ya, saya ada berbincang dengan Dr Sahruddin melalui aplikasi WhatsApp, dan saya berpandangan beliau mungkin tidak sesuai untuk jawatan berkenaan.

"Saya cuma menyampaikan pandangan kepada Dr Sahruddin mengenai cadangan itu, tetapi YB (Dr Sahruddin) sendiri juga merasakan jawatan itu tidak sesuai dan beliau sendiri menolak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Jalan Raya bersempena Aidilfitri peringkat negeri Johor 2019, di sini hari ini.

Mohd Solihan bagaimanapun tidak mendedahkan mengapa jawatan berkenaan tidak sesuai untuk disandang Dr Sahruddin.

Semalam, Pengerusi Bersatu Johor yang baharu, Mazlan Bujang mengumumkan melantik Mohd Solihan sebagai Setiausaha Bersatu Johor menggantikan Dr Sahruddin.

Menurut Mazlan, beliau ada menawarkan kepada Dr Sahruddin supaya kekal menyandang jawatan Setiausaha Bersatu Johor, namun beliau dimaklumkan menerusi Mohd Solihan bahawa Dr Sahruddin sendiri menolak jawatan berkenaan, demi menumpukan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Mohd Solihan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, dalam pada itu berkata beliau tidak berhadapan masalah menggalas dua tanggungjawab sebagai Exco Kerajaan Johor dan Setiausaha parti, selain menegaskan hubungannya dengan Dr Sahruddin amat baik.

"Saya berhasrat menjadi orang tengah yang bekerja sebagai setiausaha yang profesional.

"Apa pun barisan kepimpinan lama atau baru, kita mestilah kukuhkan, dan kita kena pastikan perjalanan parti bukan sahaja di peringkat negeri, bahkan di peringkat bahagian dan cawangan mengikut peraturan dan berjalan dengan licin," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel