Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dr Sahruddin ucap tahniah kepada Mazlan atas pelantikan sebagai Pengerusi Bersatu Johor


Tarikh kemaskini: 26/05/2019





JOHOR BAHRU, 26 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal hari ini mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang baharu, Mazlan Bujang.

Dr Sahruddin yang merupakan bekas Setiausaha Bersatu Johor berkata dengan amanah yang sudah diberikan kepada Mazlan, maka, beliau berharap semua pihak bersama-sama bekerja demi rakyat dan menguatkan parti berkenaan.

“Alhamdulillah, saya mengucapkan tahniah kepada YB Mazlan di atas pelantikan beliau, amanah telah diberi, jadi, marilah kita bersama-sama bekerja dan yang paling penting kita bekerja untuk rakyat dan berusaha menguatkan parti," katanya yang ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bantuan Hari Raya 2019 oleh Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, kepada 650 orang penerima golongan kurang berkemampuan, di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan beliau menolak untuk dilantik semula memikul tugas Setiausaha parti itu, Dr Sahruddin, enggan mengulas lanjut mengenainya.

“YB (Yang Berhormat) Mazlan pilih mereka yang selesa bekerja dengan dia. Siapa pun yang dilantik…Alhamdulillah, waktunya ini untuk kita bekerja untuk parti dan rakyat,” katanya.

Semalam, Mazlan yang memulakan tugas secara rasmi sebagai Pengerusi Bersatu Johor yang baharu mengumumkan melantik Ketua Bersatu Bahagian Ledang Mohd Solihan Badri sebagai Setiausaha Bersatu Johor menggantikan Dr Sahruddin.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin Mohd Izhar Ahmad sebagai Bendahari Bersatu Johor, Ketua Bersatu Bahagian Pulai Ya’cob Atan sebagai Ketua Penerangan, Ketua Bersatu Bahagian Sekijang Uzzair Ismail sebagai Pengarah Media manakala Timbalan Pengerusi Bersatu Johor kekal disandang Ketua Bersatu Bahagian Iskandar Puteri Senator Ir Nasir Hashim.

Menurut Mazlan, beliau ada menawarkan kepada Dr Sahruddin supaya kekal menyandang jawatan Setiausaha, namun, dimaklumkan bahawa Dr Sahruddin sendiri menolak jawatan berkenaan demi menumpukan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel