Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Yusri berharap Kelantan dapat penyerang import


Tarikh kemaskini: 26/05/2019





KUALA TERENGGANU, 26 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah mahu mendapatkan tambahan pemain import terutama bagi posisi penyerang untuk memperkuatkan pasukan itu dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Dengan hanya seorang pemain import di posisi pertahanan ketika ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diharapkan dapat mencari pemain import yang boleh membantu pasukan itu keluar daripada dasar Liga Premier yang masih berbaki enam perlawanan.

"Saya memikirkan posisi 'striker' begitu penting pada masa ini dan berharap pemilihan itu nanti biarlah bersesuaian dengan taktikal pasukan.

"Cuma sekiranya diberi peluang, saya sudah ada calon sendiri...tetapi tunggulah pertemuan dengan KAFA selepas ini untuk kata putus dan harap dapat capai hasil yang baik sebelum pintu perpindahan ditutup pada 29 Mei ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Terengganu FC II (TFC ll) di sini, malam tadi.

Yusri berkata faktor pemain import itu dilihat menjadi halangan terbesar untuk pasukannya mengatasi  TFC ll pada perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, Kelantan sekadar seri 2-2 dengan TFC ll biarpun dua kali mendahului pada minit ketiga dan ke-22 hasil jaringan pemain skuad kebangsaan bawah 23 tahun, Nik Azli Nik Alias dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Yusri berkata Terengganu turun dengan tiga tonggak import manakala Kelantan cuma memiliki Cassio Francisco yang bermain di bahagian pertahanan.

"Pemain tempatan kita boleh bermain dengan baik cumanya dari segi fizikal kita terlalu kecil dan terlalu muda untuk 'stage' yang sebegini. Justeru kita masih mengharapkan pemain import untuk memberi galakan dan tunjuk ajar yang sepatutnya untuk memantapkan lagi pasukan terutama untuk jentera serangan," katanya.           Pasukan Kelantan berada pada kedudukan tercorot dalam saingan Liga Super dengan hanya sembilan mata, hasil dua kemenangan, enam seri dan enam kekalahan dalam 14 perlawanan.

Kelantan telah ditolak tiga mata dalam saingan Liga Premier musim ini berikutan arahan yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ekoran pelanggaran kontrak pasukan itu dengan bekas Pengarah Teknikal KAFA, Alfredo Carlos Gonzalez.

  Sementara itu, pengendali TFC ll Tengku Hazman Raja Hassan pula berkata ketiadaan pemain tengah Dechi Marcel yang direhatkan kerana kecederaan menyebabkan bahagian tengah kurang berkesan kerana beliau merupakan perancang utama dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

TFC II pula berada pada kedudukan keempat liga dengan 23 mata. 

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel