Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bomba selamatkan kanak-kanak perempuan terperangkap dalam mesin basuh


Tarikh kemaskini: 25/05/2019





JOHOR BAHRU, 25 Mei (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun trauma, selepas terperangkap di dalam mesin basuh automatik di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Larkin Perdana, di sini, petang tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Kamil Zulkifli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 4.38 petang, dan sebuah jentera bersama lapan anggota serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke premis berkenaan bagi bantuan menyelamat.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika kanak-kanak itu sedang bermain bersama rakan yang lain di dalam kedai tersebut.

"Mangsa masuk sendiri ke dalam mesin tersebut, sebelum ditutup oleh rakan yang lain," katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Mohd Kamil berkata kejadian tersebut disedari orang awam yang berada di premis berkenaan ketika hendak menggunakan mesin basuh lalu menghubungi pihak berkuasa.

"Bomba mengambil masa tiga minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan 'rescue tool' dengan memotong kunci pada penutup mesin basuh tersebut.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada maklumat mangsa yang diperolehi," katanya lagi.

Kanak-kanak itu yang trauma terus berlari balik ke rumah, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel