Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

70 kanak-kanak Rohingya terima sumbangan baju raya


Tarikh kemaskini: 25/05/2019




BUKIT MERTAJAM, 25 Mei (Bernama) -- Kegembiraan jelas terpancar pada wajah seorang kanak-kanak warga Rohingya, Mohd Ayash Soyad Nur  apabila menerima sumbangan baju raya daripada Yayasan Al Nasmir, hari ini.

Kanak-kanak berusia lapan tahun itu berkata bantuan berupa jubah, kain pelikat dan serban itu sangat bermakna kepadanya kerana dapat menukar pakaian baharu pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

"Terima kasih kepada Yayasan Al Nasmir kerana memberikan bantuan pakaian baharu yang dapat digunakan pada Hari Raya nanti, saya akan balik ke Bagan Serai, Perak untuk beraya bersama ibu dan ayah di sana. Ayah saya bekerja kontrak di sana.

“Raya di Malaysia jauh berbeza dengan di negara asal saya. Di sini lebih meriah dan seronok berbanding di sana yang serba kekurangan," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan berkenaan.

Kanak-kanak itu adalah antara 70 kanak-kanak Rohingya dari Maahad Al Arkan Li Tahfiz Al Quran di sini, yang menerima sumbangan  berkenaan.

Sementara itu, mudir pusat tahfiz berkenaan, Noor Mohamad Khalamiyah berkata, pelajar di pusat tahfiz itu terdiri daripada etnik Rohingya yang kurang berkemampuan dan sebahagiannya daripadanya adalah anak yatim piatu.

Katanya, keadaan pusat tahfiz yang serba kekurangan berikutan masalah kewangan menyukarkan pihaknya membeli kelengkapan untuk pelajar-pelajar di situ.

"Kami bersyukur apabila ada pihak yang sudi memberi bantuan dan saya anggap ia adalah rezeki mereka. Apa yang lebih mengharukan apabila maahad tahfiz ini tidak pernah terpinggir daripada menerima bantuan bulanan dari Yayasan Al Nasmir yang juga anak syarikat Nasmir Holdings Sdn Bhd," katanya.

Beliau berkata sumbangan yang diterima itu akan menjadikan sambutan Aidilfitri pelajar maahad berkenaan lebih bermakna.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nasmir Holdings, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak berkata, Yayasan Al Nashmir memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada lebih 1,000 individu terutama golongan miskin, orang kurang upaya, anak yatim dan pelajar tahfiz dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya sepanjang Ramadan ini.

"Selain itu Yayasan Al Nashmir juga akan ke Kemboja pada 30 Mei ini bagi memberikan bantuan wang tunai dan sumbangan hamper raya kepada 600 keluarga di Kampung Cham. Yayasan turut mempunyai madrasah serta surau untuk kegunaan penduduk Islam di kampung berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel