Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPDNHEP Melaka rampas 1,217 barangan tiruan bernilai RM49,890


Tarikh kemaskini: 25/05/2019





MELAKA, 25 Mei (Bernama) -- Sebanyak 1,217 barangan terdiri daripada kasut, selipar dan seluar pelbagai jenama disyaki tiruan yang dianggarkan bernilai RM49,890, dirampas dalam serbuan di tiga gerai jualan di Bazar Ramadan Klebang di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Muhamad Aizudin Mohd Said berkata, dalam serbuan kira-kira 5 petang melibatkan 16 pegawai dan anggota, pihaknya merampas barangan tiruan menggunakan jenama Nike, Adidas, Puma dan Levi's.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 506 pasang selipar dan kasut jenama Adidas, Puma dan Nike, dianggarkan bernilai RM16,620 dirampas di premis pertama, manakala 281 pasang selipar dan kasut jenama sama dianggar bernilai RM11,770 di premis kedua.

"Kita juga turut merampas 430 pasang seluar jeans jenama Levi's dalam premis ketiga di bazar itu yang dianggarkan bernilai RM21,500.

"Serbuan itu dilakukan hasil aduan orang awam dan maklumat risikan serta pemantauan. Hasil pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga premis terlibat ada menjual produk disyaki tiruan dengan pelbagai cap dagang atau jenama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya kes akan disiasat mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan bagi pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu, jika sabit kesalahan manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang tiruan.

Menurut beliau bagi individu pula dan kesalahan pertama, denda tidak melebihi RM10,000 untuk setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Bagi kesalahan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Orang ramai khususnya pengguna boleh menyalurkan sebarang maklumat berhubung jualan barangan tiruan melalui pelbagai medium yang disediakan antaranya di talian 1Malaysia One Call Centre (03-8000 8000), talian bebas tol KPDNHEP  (1-800-886-800), talian aduan Pejabat KPDNHEP Negeri Melaka (06-2345822) dan emel (e-aduan@kpdnkk.gov.my).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel