Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Warga emas cedera diseret peragut di Tumpat


Tarikh kemaskini: 24/05/2019





KOTA BHARU, 24 Mei (Bernama) -- Seorang wanita warga emas berhadapan detik mengerikan, apabila diseret kira-kira lima meter oleh peragut yang menaiki kereta, ketika cuba melarikan beg tangannya dalam satu kejadian di Wakaf Bharu, Tumpat, pagi tadi.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan dan kaki selepas diseret di atas jalan tar.

Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Ab Rashid Mat Daud ketika dihubungi berkata kejadian berlaku di tepi jalan berhampiran Pejabat Pos Wakaf Bharu, kira-kira pukul 10.40 pagi tadi.

Beliau berkata mangsa yang berusia 57 tahun dan berasal dari Taman Tanjong Chat di sini, ketika kejadian sedang berjalan kaki di belakang suaminya selepas selesai membeli-belah di pasar.

"Secara tiba-tiba mangsa dihampiri sebuah kereta dari arah hadapan. Ketika itu seorang lelaki yang memakai penutup muka dan topi mengeluarkan separuh badannya dari tingkap dan cuba merampas beg tangan mangsa.

"Suspek bertindak menarik beg tangan yang dipegang mangsa, namun tidak dilepaskan mangsa menyebabkan beliau diseret bersama kenderaan yang sedang bergerak," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Ab Rashid berkata kejadian itu disedari suami mangsa dan orang ramai yang berada di tempat kejadian selepas terdengar jeritan mangsa.

"Melihat orang ramai mendekati lokasi, suspek terus melepaskan beg tangan mangsa dan terus meninggalkan tempat kejadian.

"Polis kini sedang meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di beberapa premis di tempat kejadian,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan merompak.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel