Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek naik taraf jalan tertangguh gugat keselamatan pengguna Permas Jaya


Tarikh kemaskini: 24/05/2019





JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Projek menaik taraf sistem lalu lintas dengan kos RM9.7 juta di Jalan Permas Jaya Utara, Permas Jaya, di sini, yang tertangguh hampir setahun lepas didapati mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Projek sepanjang tiga kilometer itu membangkitkan kerisauan penduduk ekoran tidak dilengkapi lampu jalan, kekurangan lampu amaran bahaya serta jarak tembok penghadang yang jauh antara satu sama lain.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar Johor, Syed Othman Abdullah berkata projek berkenaan yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat kontraktor mulai 15 Mac tahun lepas sepatutnya siap 31 Julai ini, namun, sehingga kini kerja-kerja menaik taraf itu hanya 50 peratus disiapkan.

“Masalah timbul apabila pihak kontraktor itu tidak mematuhi aspek keselamatan pembinaan jalan raya yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Perkara yang merisaukan penduduk adalah aspek keselamatan di waktu malam kerana laluan terbabit tidak dilengkapi lampu jalan. Masalah kedua, kelewatan projek ini menyebabkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di kawasan projek berkenaan, di Permas Jaya, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru Zon Permas Jaya Danny Tan Peng Chye dan Biro Aduan Penduduk Permas Jaya Yip Siew Ling.

Syed Othman berkata difahamkan, terdapat beberapa kemalangan melibatkan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang terbabas ke dalam longkang di tepi jalan tersebut dengan kesemua mereka mendakwa gagal melihat dengan jelas keadaan jalan berkenaan pada waktu malam akibat ketiadaan lampu jalan mahupun lampu amaran bahaya.

“Punca kelewatan projek itu disiapkan masih menjadi tanda tanya kepada semua pihak. Aduan daripada jawatankuasa penduduk telah kita (Pejabat Menteri Besar) terima dan kita akan segera bertindak untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Tan berkata pihak MBJB sudah memberikan dua surat amaran kepada pihak kontraktor terlibat kerana kelewatan projek itu dan pihak kontraktror tersebut kemudiannya menyerahkan projek berkenaan kepada sub kontraktor lain bagi disiapkan.

Beliau berkata hasil perbincangan antara kontraktor tersebut dan Unit Kejuruteraan MBJB pada Mac lepas, kontraktor yang dilantik oleh kerajaan terdahulu itu memberikan alasan bahawa projek berkenaan lewat disiapkan akibat perlu mengalihkan terlalu banyak paip air dan kabel elektrik sebelum proses menaik taraf jalan tersebut diteruskan.

“Saya telah mengusulkan kepada Datuk Bandar Johor Bahru supaya projek ini diwajibkan memenuhi spesifikasi kualiti jalan raya seperti yang disarankan oleh JKR. Jika tidak, kita bimbang masalah jalan ini akan jadi lebih teruk pada masa akan datang dan akan membahayakan keselamatan pengguna lalu lintas,” katanya.

Tan berkata MBJB juga tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun RM2,000 sehari kepada kontraktor tersebut sekiranya projek itu masih gagal disiapkan mengikut masa ditetapkan.

Menurut Tan, hasil pemerhatiannya hari ini, beliau berpandangan projek tersebut tidak mampu disiapkan tepat pada waktunya berikutan hanya terdapat lima pekerja sahaja yang melakukan kerja naik taraf itu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Penduduk Permas Jaya, Yip Siew Ling berkata pihaknya berharap kontraktor yang dilantik untuk menyiapkan projek itu mempunyai tauliah daripada badan-badan yang diiktiraf kerajaan supaya dapat menjalankan tugas mereka dengan baik dan menyelesaikan isu tersebut dengan segera.

“Kita juga harap pihak kontraktor dapat mengamalkan kaedah pengurusan jalan raya yang sistematik demi keselamatan penduduk Permas Jaya,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel