Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nasi Khao Mok tawan selera warga Langkawi


Tarikh kemaskini: 24/05/2019





LANGKAWI, 24 Mei (Bernama) -- Sejak awal Ramadan lagi hampir setiap minggu Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi di Kuah, 'diserbu' ratusan penduduk sekitar bagi mendapatkan hidangan istimewa iaitu nasi khao mok atau nasi komok yang diagihkan secara percuma seminggu sekali.

Bermula 300 bungkus pada minggu pertama, agihan meningkat kepada 600 pada minggu kedua dan hari ini jumlah terus bertambah mencecah 1,000 bungkus.

Menurut Fatimah Leksan, 49, nasi khao mok seringkali dirujuk sebagai nasi beriani Thailand namun beliau yang memiliki pengalaman lebih 12 tahun memasak nasi itu berkata ia memiliki beberapa ciri unik dan tersendiri seperti rasa manis dan pedas.

"Proses memasak nasi ini bermula dengan menghasilkan perencah menggunakan bahan-bahan seperti kunyit, halia, cili, bawang besar, tomato, rempah kari, garam serta beberapa bahan lain.

“Bahan-bahan itu kemudian dikisar sebelum ditumis dalam periuk. Kemudian air ditambah sebelum masukkan ayam dan biar sehingga masak. Selepas masak, ayam tadi dikeluarkan, proses diteruskan dengan beras wangi Thailand dimasak di dalam kuah ayam itu," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Padang Ragut di sini hari ini.

Fatimah dibantu suaminya Ahmad Morad, 65, dan seorang lagi ahli keluarga memasak 100 kilogram nasi khao mok sejak 10 pagi tadi dan proses mengambil masa kira-kira empat jam sebelum semuanya siap.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengagihkan nasi khao mok yang dimasak itu di Pusat Khidmat Anggota Parlimen Langkawi, di Kuah pada 4.00 petang ini.

Sementara itu, Ahmad berkata nasi khao mok terkenal di Langkawi khususnya di kawasan Ayer Hangat kerana terdapat ramai komuniti Thailand yang berkahwin dengan penduduk tempatan tinggal di kawasan itu.

"Nasi khao mok ini dihasilkan oleh isteri saya yang berasal dari Satun, Thailand, dia memiliki pengalaman memasak nasi itu sejak 12 tahun lepas. Kami menggunakan resipi asal dari Thailand jadi rasa nasi ini boleh dijamin asli. 

"Alhamdulillah syukur ramai yang suka dengan nasi khao mok ini dan terima kasih juga kepada pihak Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi kerana memberi kepercayaan kepada isteri dan saya," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel