Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tujuh projek tingkat mutu perkhidmatan kesihatan di Melaka dilaksana


Tarikh kemaskini: 24/05/2019





MELAKA, 24 Mei (Bernama) -- Sebanyak tujuh projek bagi meningkat mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di negeri ini melibatkan peruntukan berjumlah RM115.3 juta akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kata Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong.

Dua daripada tujuh projek itu telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Melaka iaitu Klinik Kesihatan Ayer Molek dan Klinik Kesihatan Alor Gajah yang dilengkapi dengan kuaters masing-masing menelan kos pembinaan RM20 juta.

Katanya, Klinik Kesihatan Ayer Molek telah beroperasi pada 27 Nov 2017 dan kuaters diserahkan pada 26 Mac lepas manakala Klinik Kesihatan Alor Gajah dijangka beroperasi pada Julai ini.

"Satu lagi projek yang dalam peringkat pelaksanaan ialah Klinik Kesihatan Batu Berendam beserta kuaters menelan kos RM26 juta bagi menggantikan Klinik Desa Batu Berendam dan status pembinaan sehingga 23 Mei ialah sebanyak 59 peratus berbanding jadual sebenar iaitu 61 peratus.

"Klinik yang dibina di tanah berkeluasan 2.43 hektar bertentangan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka itu menelan kos pembinaan RM26 juta dan ia dijangka beroperasi pada awal 2020 serta memberi manfaat kepada 20,000 hingga 30,000 pesakit di sekitar kawasan berhampiran," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Status Fasiliti Kesihatan di Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Dr Rushdi Ramly dan Pengarah Hospital Melaka Dr Hatijah Mohd Tan.

Low berkata pelbagai perkhidmatan kesihatan disediakan di hospital berkenaan yang dijangka siap pada Oktober hadapan dan ia dijangka dapat memberi keselesaan yang lebih baik kepada pesakit.

Sembilan projek menaik taraf Hospital Melaka melibatkan peruntukan berjumlah RM1.63 juta sedang  dilaksanakan secara berperingkat.

"Selain itu, empat projek antaranya menaik taraf bangunan sedia ada Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka dan menaik taraf Jabatan Kesihatan dan Trauma serta Jabatan Pergigian Pediatrik," katanya.

Dua projek iaitu Mengecat Bangunan Warisan Hospital Melaka dan Pembinaan Anjung Kasih hospital sama yang menerima peruntukan khas masing-masing daripada kerajaan negeri dan Yayasan Kebajikan Negara akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri menerusi portfolionya dan Kementerian Kesihatan sedang berusaha memohon peruntukan daripada kerajaan pusat bagi membina Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Pusat Rekod Perubatan dan Stor Integrasi Farmasi dan parkir bertingkat di Hospital Melaka.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel