Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MNS gesa cari segera punca air hitam, ikan mati di Sungai Melaka


Tarikh kemaskini: 24/05/2019





MELAKA, 24 Mei (Bernama) -- Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menggesa Kerajaan Negeri Melaka segera mencari punca yang mengakibatkan ribuan ikan mati dan air sungai bertukar hitam di Sungai Melaka baru-baru ini.

Presidennya, Prof Dr Ahmad Ismail berkata sekiranya fenomena itu benar-benar berulang pihak berkuasa yang berkaitan seharusnya sudah mempunyai jawapan tepat mengapa ianya berlaku dan ada cara untuk mengatasinya daripada terus berulang.

"Adakah kejadian pertembungan air laut dan air tawar akibat tiada sekatan terhadap pintu air selalu berlaku atau pertama kali? Mereka kena segera cari sebab dan sepatutnya masalah ini sudah ada jawapan.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka tentu sudah tahu jawapan tepat kalau mereka mencari sebab utama mengapa tiba-tiba air hitam dan ikan mati," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain memastikan ada pergerakan air bawah tanah berlaku, kandungan bahan kimia dalam sedimen, air dan sampel ikan serta kualiti air sepanjang Sungai Melaka seharusnya sudah dikaji dan dipantau lebih awal bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin buruk dan tidak terkawal.

"Difahamkan air menjadi hitam disebabkan sekatan air yang terlalu lama di baraj empangan Batu Hampar di Batu Berendam dan ini merupakan jawapan yang baik untuk kajian atau pemerhatian serta pemantauan dibuat. Mesti ada sumbernya dan sebab ikan mati. Air hitam itu kena 'flush' dengan air hujan atau biar air pasang surut dua kali sehari.

Menurut beliau MNS sedia memberikan kerjasama dan pandangan mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi memastikan air sungai itu benar-benar berkualiti dan Sungai Melaka terus dijadikan pusat tumpuan pelancong.

Isnin lepas, Bernama melaporkan pencemaran Sungai Melaka yang menyebabkan air bertukar warna menjadi hitam, berbau busuk dan ikan mati dikesan berlaku terutama di Taman Rempah di sini sejak dua hari lepas.

Sehari kemudian, Kerajaan Negeri Melaka memaklumkan perubahan warna air Sungai Melaka yang bertukar hitam, berbau busuk serta banyak ikan mati di sungai itu khususnya di Taman Rempah bukan berpunca daripada pencemaran sebaliknya dipercayai disebabkan pengaruh air laut, namun kajian serta siasatan lanjut perlu dilakukan.

Dilaporkan bangkai ikan tilapia hanya dikesan sepanjang tujuh kilometer dari muara Sungai Melaka ke Melaka Sentral dan bangkai hidupan air terutama spesies ikan itu tidak dikesan kawasan lain atau di Pintu Kawalan Air Batu Hampar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel