-lidni0W0AY Warga emas Darul Hanan teruja dapat rasai bubur lambuk resepi istana
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Warga emas Darul Hanan teruja dapat rasai bubur lambuk resepi istana


Tarikh kemaskini: 24/05/2019





KEPALA BATAS, 24 Mei (Bernama) -- Biarpun tidak dapat bersua muka menatap wajah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara dekat pada hari ini, warga emas di Darul Hanan Pulau Pinang tetap teruja dan gembira apabila dapat merasai sendiri bubur lambuk resepi dari Istana Pahang.

Pengerusi Darul Hanan Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata biarpun Raja Permaisuri Agong tidak dapat menghadiri majlis yang dijadualkan untuk memasak sendiri bubur lambuk hasil resepinya, penghuni Darul Hanan turut berpeluang merasai bubur lambuk itu menerusi resepi yang diberikannya.

"Saya bersyukur Darul Hanan dipilih oleh Tuanku. Kita turut bersedih di atas kemangkatan Sultan Pahang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah. Namun kita tetap menaruh harapan suatu hari nanti Raja Permaisuri Agong akan tetap ke sini.

“Bagaimanapun, kita tetap berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana sudi datang pada majis ini," katanya kepada pemberita selepas Program Salam Ramadan ke Pusat Penjagaan Warga Emas Darul Hanan di Pongsu Seribu, Kepala Batas di  sini.

Berkenaan juadah istimewa bubur lambuk itu, Jahara berkata ia amat unik kerana menggunakan bahan yang tidak pernah digunakan dalam memasak bubur lambuk biasa.

"Walaupun baginda tidak dapat datang, tetapi kita semua tetap dapat merasa resepi dari Istana Pahang  yang sangat unik. Resepi itu sangat unik kerana bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam bubur itu kita tidak pernah digunakan dalam bubur biasa.

“Bagi bubur resepi istana ini bahan-bahan yang dimasukkan adalah pucuk paku merah, rempah-ratus terutama sekali herba-herba tempatan yang sememangnya awet muda, daun kunyit, daun kaduk, cekur manis, daun kesom, ikan tenggiri, udang serta ayam. Walaupun tuanku tidak dapat hadir, semangatnya ada bersama kita menerusi resepi yang diberi," katanya.

Pada majlis itu  Dr Wan Azizah yang juga  Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat turut meluangkan masa memasak bubur lambuk istimewa untuk penghuni Darul Hanan. Turut hadir timbalannya Hannah Yeoh.

Sebanyak 20 kilogram beras digunakan untuk memasak bubur lambuk itu melibatkan dua periuk besar yang mampu menghasilkan 700 bungkus bubur lambuk.

Pada program itu, Timbalan Perdana Menteri turut meluangkan masa melawat pusat itu dan menyantuni penghuni yang menetap di pusat berkenaan.

Bagi Maznah Shariff, 64, beliau turut menzahirkan rasa teruja apabila dapat merasai keenakkan bubur lambuk resepi Raja Permaisuri Agong yang turut dimasak oleh Timbalan Perdana Menteri.

"Seronok sangat hari ini, tidak sabar nak rasa bubur lambuk ini. Saya juga gembira dapat bertemu secara dekat dengan Timbalan Perdana Menteri yang turut turun padang memasak bubur lambuk biarpun sibuk dengan tugasan kerjanya yang padat," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel