Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Suami isteri tubuh rumah ‘Fitrah Qaseh’ untuk anak yatim


Tarikh kemaskini: 24/05/2019





JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Prihatin dengan nasib anak-anak yatim, asnaf dan gelandangan, sepasang suami isteri nekad membuka sebuah rumah perlindungan ‘Fitrah Qaseh’ bagi membela nasib golongan berkenaan.

Pengasasnya, Muhamad Fitri Abd Rashad, 43, berkata rumah perlindungan di Jalan Sabar, Taman Dato’ Onn, Larkin itu ditubuhkan bersama isterinya, Kamilia Ariffin, 35, sejak dua tahun lepas setelah sekian lama aktif dalam program kebajikan dan kesukarelawan membantu gelandangan.

Beliau berkata rumah yang disewa tersebut menempatkan 48 penghuni berumur antara setahun dan 22 tahun dengan sebahagian daripada mereka merupakan mangsa penderaan serta daripada keluarga kurang bernasib baik.

"Tidak semua orang suka apa yang kami lakukan ini tetapi kami hanya memikirkan kebajikan anak-anak ini.

"Isteri juga adalah pencetus (Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh). Kebetulan dia juga adalah seorang kaunselor dan dia seorang yang penyayang, suka terhadap kanak-kanak serta mudah tersentuh," kata Muhamad Fitri yang ditemui pemberita ketika menerima barangan keperluan asas menerusi program ‘Seikhlas Hati Best FM’, di sini semalam.

Hadir sama pada program berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Best FM, Yusry Abu Samah.

Muhamad Fitri yang menganggap kesemua penghuni itu seperti anak kandungnya sendiri berkata, kos bagi menguruskan rumah perlindungan berkenaan mencecah sehingga RM10,000 sebulan dan setakat ini dia  menerima bantuan daripada pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Namun, tidak dinafikan, kadang-kadang ada juga tersekat untuk melunaskan bil bulanan dan sebagainya. Tetapi, selagi ada hayat, insya-Allah saya dan isteri akan terus membela kebajikan anak-anak ini," katanya yang merupakan bekas pekerja kilang.

Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, katanya, kini beroperasi di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan sedang berusaha untuk mendaftarkannya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel