Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lebih ramai pemaju diseru sertai projek kompos sisa makanan


Tarikh kemaskini: 24/05/2019





MELAKA, 24 Mei (Bernama) -- SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mengalu-alukan pemaju perumahan dan pembangunan untuk terlibat dalam inisiatif kompos sisa makanan bagi memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah di tiga negeri di bawah kendalinnya iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Pengarah Eksekutif SWM Environment, Dr Uzir Abdul Malik berkata ia kerana secara purata kira-kira 30 hingga 40 peratus daripada jumlah sisa buangan di tapak pelupusan sampah terdiri daripada sisa makanan dan situasi itu dilihat semakin meruncing.

Beliau berkata melalui inisiatif itu, sisa makanan akan dikompos menjadi baja yang akan digunakan isi rumah kawasan terlibat untuk aktiviti tanaman atau pertanian sekali gus menjadikan pengurusan sisa pepejal di tapak pelupusan lebih efektif.

"Setakat ini, ia akan dilaksanakan di Johor oleh satu pemaju perumahan sebagai projek perintis dan kita amat mengalu-alukan lebih banyak pemaju perumahan dapat bersama-sama menjayakan inisiatif ini.

"Projek perintis ini akan menjadi kayu pengukur untuk mengenal pasti kelemahan yang ada sebelum ia diperluaskan bagi memberi impak yang lebih baik pada usaha pengurusan sisa makanan di negara ini pada masa hadapan," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar dan Sidang Akhbar Pengumuman Strategi Operasi Hari Raya Aidilfitri 2019 di sini, Khamis malam.

Turut hadir Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Pengurus Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan SWM Environment, Dr Al'Ashari Othman.

Uzir berkata pelaksanaan projek itu memerlukan satu kawasan tanah bagi kerja-kerja pengomposan sisa makanan berkenaan dan ia perlu disediakan pihak pemaju manakala SWM Environment akan menyediakan perkhidmatan kutipan sisa makanan itu.

Sementara itu, Al'Ashari berkata operasi kutipan sampah di Melaka akan terus beroperasi seperti biasa pada dua hari cuti umum Hari Raya Aidilfitri bermula 5 Jun hadapan.

Beliau berkata, tumpuan akan diberi di kawasan tong sampah berpusat, pusat bandar, pantai dan tempat awam memandangkan Melaka adalah negeri pelancongan dan jumlah pelancong serta rakyat negeri itu dijangka meningkat pada cuti perayaan berkenaan.

"Kutipan sampah juga akan dilakukan seperti biasa bagi laluan pusat bandar pada malam hari raya dan hari raya pertama dan kita akan menggerakkan SWM Action Team untuk mengambil tindakan segera sekiranya berlaku insiden di luar jangkaan seperti longkang tersumbat dan sampah berlebihan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel